Categories

Lesson 6

Blog Archive

Follower

Statistik

Get Gifs at CodemySpace.com

Perkembangan Pemikiran dan Polisi Ekonomi pada Masa Kerajaan Utsmaniyah



            Membahaskan tentang seluruh perkembangan pemikiran serta polisi pemerintah kerajaan Utsmaniyah yang memberi kesan pada ekonominya adalah suatu perkara yang sangat besar.   Namun, dalam ruang yang sederhana ini, kita boleh ungkapkan beberapa perkara yang menjadi ciri khas sistem ekonomi Utsmani.

            Bentuk usaha sama perniagaan yang paling banyak ditemui sepanjang sejarah Utsmani ialah mudharabah, di mana modal dan tenaga usahawan menggerakkan roda perniagaan.   Namun, perniagaan seperti ini jarang dilakukan dalam skala besar  ataupun untuk jangka masa yang panjang (Issawi, 1996).   Oleh kerana bentuk usaha korporasi tidak ditemui dalam wilayah Utsmani, institusi waqf merupakan usaha yang paling menyamai korporasi kerana sebahagian besar dari mereka juga bergerak di bidang perniagaan.  Malangnya, contoh ini tidak dapat menggambarkan keadaan perniagaan yang positif kerana sebahagian besar dari mereka tidak dikelolakan dengan baik. 


            Secara umum, larangan terhadap riba, seperti bunga (usury, kemudian berkembang menjadi faedah) selalu menjadi perhatian dalam wilayah Ustmani.  Perlu diketahui bahawa larangan ini tidak mengurangkan tingkat pinjaman peribad di tengah-tengah masyarakat.
           
            Namun, Issawi (1996) membuat spekulasi yang larangan ini turut mempengaruhi kecepatan perkembangan institusi kewangan seperti bank di wilayah Utsmani.  Pada masa yang sama, Eropah berjaya mendapat serta memanfaatkan wang simpanan rakyat melalui perkhidmatan perbankan untuk meningkatkan ekonomi mereka yang terus menurun.

            Sebuah proto-bank pertama yang ditemui pada masa kerajaan Utsmaniyah ialah Galata Sarraf yang menjalankan urusniaga pertukaran mata wang asing, memberi pinjaman, serta menyediakan pembelian pemiutang.  Akan tetapi, tanda-tanda penerimaan wang simpanan rakyat tidak ditemui. 

            Bank Utsmani yang pertama didirikan pada tahun 1856, itupun setelah mendapat modal dari luar negeri.   Pasaran modal pertama pula didirikan pada tahun 1873.   Perkhidmatan insuran serta prosedur perakaunan diperkenalkan selepas itu.

            Salah seorang pemikir Utsmani yang cenderung pada pemikiran ekonomi ialah Cemal Kafadar, walaupun dia tidak sehebat Ibnu Khaldun ataupun al-Marqiz yang hidup pada penghujung abad ke-16.  Beliau mengkritik polisi menurunkan nilai (debasement) terhadap matawang logam yang diterapkan oleh pemerintah pusat Utsmani untuk mengatasi inflasi.

            Nama lain yang juga cukup berpengaruh dalam bidan ekonomi kerajaan Utsmaniyah ialah Mustafa Ali (1541-1600 M).  Beliau juga mengkritik polisi ekonomi pemerintahan pusat Utsmani yang terlalu bergantung pada jumlah pusingan wang dalam mengendalikan inflasi, melalui pemikiran politik, sosial dan analisis sejarah.   Pada tahun 1630 M, Kocu Bey dan Katib Celebi, sekitar tahun 1653 M, menulis tentang fenomena ekonomi Utsmani dalam perdagangan antarabangsa serta ekonomi wilayah.  Ahli sejarah pada masa ini lebih cenderung menghindari pembahasan tentang ekonomi. 

            Dari sudut pandangan pengambilan polisi ekonomi, para sultan Utsmani boleh dinilai sebagai pemimpin yang bekerja secara realistik – jika tidak boleh disebut pragmatik – sesuai dengan keberadaan dana.   Mereka tidak kenal istilah bankrap dan kemungkinan bankrap dalam suatu sistem ekonomi, walaupun tahap cukai yang dikumpulkan dari rakyat adalah yang paling rendah di seluruh Eropah.

            Pengetahuan golongan pemimpin yang terbatas tentang ilmu statistik serta amalan penerapannya juga menyukarkan pencipta polisi memberikan pertimbangan-pertimbangan yang tepat dan yang boleh dipercayai.   Satu-satunya catatan yang boleh dianggap memenuhi syarat kesahan adalah catatan kekuatan ketenteraan serta keperluan logistiknya.  Akan tetapi, tentulah keperluan ini tidak cukup bagi  segala keperluan untuk memperbaiki ekonomi yang semakin menjadi buruk.


            Perlu kiranya dikaji dengan lebih mendalam tentang keberadaan serta peranan milet dan hubungannnya dengan kemajuan dan kemunduran dinamik ekonomi sepanjang sejarah Kerajaan Utsmaniyah.  Di samping itu, perlu juga dikaji secara mendalam tentang pelaksanaan sistem tarif yang ringan yang dikenakan oleh Kerajaan Utsmaniyah berhubung dengan penciptaan wilayah bebas dagang - sepatutnya – merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

0 komentar:

Posting Komentar