Penting
rasanya kita bincangkan tentang perkembangan kerajaan Ustmaniyah, walaupun
tidak terlalu mendalam, untuk memahami perjalanan sejarah serta perkembangan
pemikiran ekonominya. Berikut ialah
pendapat-pendapat Kemal H. Karpat tentang pendekatan struktur-komparatif3
dalam mengamati perkembangan kerajaan Utsmaniyah.
Secara
umum, Kerajaan Utsmaniyah boleh dilihat sebagai negara yang sangat bergantung
pada pendapatan dari sektor pertanian, dalam bentuk cukai atas hasil
pertaniannya, di samping pendapatan dalam bentuk jizyah dari golongan minoriti
bukan-Muslim yang dilindunginya, sehingga kerajaan ini dipanggil ‘negara
pertanian birokratik’ oleh Sevket Pamuk.4 Adalah suatu kebenaran jika Karpat mengamati
perkembangan kerajaan Utsmaniyah dengan menganalisis perubahan sistem
kepemilikan tanah serta kelompok-kelompok sosial yang menjadi dominan dalam
masyarakat mahupun pemerintahan melalui penguasaan atas tanah. Melalui pengamatan sumber daya ekonomi yang
paling mendasar ini – iaitu tanah – diharapkan kita dapat melihat perjalanan
sejarah Kerajaan Utsmaniyah, terutamanya tentang jatuh-bangunnya golongan elit
penguasa5, dari sudut pandang peranan dan juga kepemilikan mereka
atas sumber daya tersebut. Secara
kronologi, perjalanan sejarah itu boleh digolongkan kepada :
1. Periode Tapal Batas (Uc
Beyleri / Penguasa Sempadan) 1299-1402 M
Kalau
dilihat dari sudut geografi, wilayah di mana kerajaan Utsmaniyah terletak
merupakan sempadan di antara pecahan bekas wilayah Saljuk di sebelah timur dan
wilayah Byzantium yang sedang rapuh di sebelah barat. Kedudukan yang strategik ini – walaupun agak
terpencil pada mulanya – membolehkan Utsmani menerap polisi pertumbuhan yang
dilengkapi dengan kebebasan sosial untuk masyarakatnya. Keunikan ini menjadikan wilayah Utsmani
sebagai ‘syurga’ bagi masyarakat dari kedua-dua belah pihak – Turki ataupun
Byzantium – yang mahu melarikan diri dari ketidakpuasan sosial ataupun
orang-orang yang terpanggil oleh laungan penegakan syariah. Masyarakat setempat mendapat keuntungan
dengan penerapan syariah, terutamanya tentang persoalan kepemilikan serta hak
penggarapan tanah. Sultan tidak
membenarkan Uc Beyleri memiliki hak
milik tanah secara mutlak, menghidupkan hubungan peribadi di antara masyarakat
tempatan dengan Uc Beyleri dalam
konteks yang saling menguntungkan. Uc
Beyleri ditempatkan sebagai perantara di antara sultan, dalam konteks khalifah fil ardh, dan masyarakatnya,
dalam konteks ri’ayah.
Namun,
pola hubungan antara Uc Beyleri dan
penduduk setempat – yang secara de-facto –
yang berada di bawah kelolaannya tidak berlangsung dengan lama. Pada penghujung masa ini, berlakulah
serangan terhadap wilayah Utsmani dari arah timur di bawah pimpinan
Timur-i-Lank. Keengganan Uc Beyleri – terutamanya yang berada di
wilayah Balkan, ataupun yang dikenali dengan istilah Rumeli – untuk memperkuatkan pasukan Sultan Bayezid I menyebabkan
kekalahan di Ankara pada tahun 1402 dan ditawan oleh pasukan Timur. Kematiannya, semasa menjadi tawanan Timur,
menjadikan kerajaan Utsmaniyah terjerumus ke dalam konflik dalaman. Pihak pemerintah pusat yang dibela oleh
seluruh bey yang berasal dari
Anatolia, berjaya mengalahkan gabungan bey
yang berasal dari Rumeli dalam pertempuran yang meletakkan Sultan Mehmet I
ke puncak kekuasaan.
2. Periode Pemusatan 1421-1596 M
Apa
yang berlaku pada masa peralihan pertama diambil sebagai pengajaran yang
berkesan oleh para Sultan pada periode ini.
Mereka memperkenalkan peraturan serta kaedah pengangkutan yang baku
sebagai penyambung kedudukan sultan di masa akan datang. Pada masa ini pula, pasukan Yeni Ceri (Jannissary) menduduki
kedudukan pusat sebagai pasukan utama yang menjadi andalan pemerintah pusat
kerajaan Utsmaniyah dalam menjaga kedaulatan sempadannya, dan juga untuk
memanjangkan kekuasaan pusat ke tiap-tiap wilayah.
Perdagangan
antarabangsa juga tidak terlepas dari penataan dalam periode ini, di mana pihak
Venesia terpengaruh dengan pedagang-pedagang tempatan Utsmani yang digalakkan
untuk bersaing. Elemen-elemen
ketenteraan yang berasaskan wilayah, seperti
sipahi, turut ditarik ke pusat untuk menjaga kesetiaan pada Sultan dan
birokrasi pusat. Sultan Mehmet II yang
memulakan pemerintahannya pada tahun 14516 bertanggungjawab terhadap
reformasi sistem pemerintahan pada periode ini dalam menuju kesultanan yang
berpusat. Pada satu sisi, polisi ini
memungkinkan wujudnya sebuah kerajaan yang terbukti mampu bertahan selama 500
tahun, tetapi pada sisi yang lain, ia
juga mencipta satu kelas sosial baru yang mengandungi banyak masalah, yang
secara sistematik melemahkan asas kerajaan itu sendiri.
Pada
masa ini juga, konsep timar
berkembang menjadi sistem sosial-ekonomi yang secara utuh bersatu dengan
struktur pemerintahan yang memusat. Pengelolanya, dalam hal ini sipahi, berperanan sebagai pemantau,
sekaligus pelindung wilayah itu, serta bertanggungjawab secara langsung pada
pemerintah pusat. Pada masa pemerintahan
Sultan Suleiman al-Qanuni (1520-1566 M), kelemahan pengelolaan timar mula kelihatan sehingga pemaksaan
mula dilakukan ke atas penduduk yang mendiaminya. Perkara ini menjadi semakin nyata,
terutamanya ketika keperluan untuk menyediakan angkatan perang dari setiap timar mula bertambah dan turut
membebani pendapatan tempatan.
Kesan
daripada penerapan pola pengelolaan tanah melalui sistem timar mendorong peningkatan populasi, sehingga pekerjaan yang ada
tidak cukup untuk menampung bilangan populasi ini. Motivasi untuk meningkatkan produktiviti
tanah juga sangat rendah kerana tiadanya insentif yang jelas dari pihak
pemerintah pusat. Peralihan penduduk
segmen usia muda juga dikira turut mendorong meningkatnya kerjaya ‘pelaut
swasta’ yang berdaftar secara rasmi dengan pemerintahan pusat ataupun dengan
pemerintahan tempatan. Kini, semakin
ramai ahli sejarah Utsmani yakin salah
satu faktor yang menyebabkan kemunduran
kerajaan itu dipengaruhi oleh merosotnya keberkesanan sistem timar.
Satu
lagi perkara yang tidak kurang menariknya ialah pengaruh penggunaan
senjata api dalam bentuk senapang lantak
(proto-musket), yang perlahan-lahan
menggugat kedudukan sipahi yang
mempunyai pasukan tentera berkuda.
Berkurangnya peranan tradisional sipahi
yang dibiayai oleh sistem timar turut
mendorong kecekapan pengelolaan tanah dalam sistem itu. Tonggak sejarah yang menandai kehapusan
sistem timar itu dipicu oleh
ketiadaan sipahi dari seluruh tapak timar
di Anatolia dalam peperangan Mezo-Keresztes (1596 M).
3. Periode Autonomi Wilayah (Ayan) 1603-1789 M
Periode
ini boleh disebut sebagai periode yang sangat pening dalam sejarah kerajaan
Utsmaniyah, tetapi periode ini juga sangat kurang pembahasannya. Sebagai kesan atas kekurangan perhatian yang
diberikan pada periode ini, ahli sejarah mengalami kesulitan untuk memahami
masa peralihan Utsmani menuju zaman moden.
Periode ini juga menjadi penting apabila kita perhatikan yang seluruh
pergerakan reformasi yang berlaku pada awal abad ke-19 memiliki akar
perkembangan sosial-ekonomi yang berlaku pada periode ini.7
Satu
lagi perkara yang menarik untuk diperhatikan pada periode ini ialah lapisan
elit pemerintah di tahap wilayah tidak lagi ditentukan oleh pemerintah pusat
tetapi dipengaruhi oleh usaha-usaha kelas bawah untuk mengambil alih kepemilikan
atas faktor-faktor ekonomi. Pada tahun
1683, Kerajaan Utsmaniyah mengalami kegagalan dalam penawanan kota Wina.
Munculnya
golongan sosial ayan8
sebagai satu golongan berpengaruh di luar kekuasaan pemerintah juga merupakan
ciri khas periode ini. Dari sudut
pandang kepemilikan tanah, golongan ayan
itu tidak berasal dari kalangan sipahi yang
pernah tewas sebelumnya dan juga bukan berasal dari kalangan sipahi yang ketika itu berkuasa. Fenomena ini merupakan tonggak sejarah
perubahan hubungan antara birokrasi dan tanah sebagai sumber daya yang penting.9
Kelompok
ayan yang dimaksudkan ialah golongan
yang memegang tanggungjawab dalam pentadbiran tanah negara, serta mengutip
cukai. Pada ketika itu tenaga-tenaga
tersebut sudah mula berkurangan pada abad ke-18. Pada mulanya, golongan ayan ini dipilih oleh penduduk setempat, walaupun pola itu belum
dapat dibuktikan secara kukuh. Namun,
lambat laun mereka berkembang tanpa terkawal, terutamanya di wilayah yang jauh
dari pengawasan pemerintah pusat.
Pemerintahan
pusat Utsmani – dalam rangka mengendalikan keadaan – merasakan lebih praktikal
menginstitusikan fenomena sosial ini ke dalam struktur pemerintahan dengan
menamakannya ayanlik yang dikuatkan
lagi dengan gelaran rasmi berat. Akan tetapi, ada juga ayan yang beroperasi
tanpa berat, sebagai bentuk
penentangan terhadap kekuasaan pusat.
Perkara ini menunjukkan yang perkembangan kuasa pengelolaan atas tanah
semakin berada di luar kuasa pemerintah pusat.
Jadi, legaliti berat tidak
memiliki kekuatan undang-undang, sehingga cenderung dinilai sebagai polisi yang
bersifat ex-post facto.
Secara
politik, keberadaan ayan tidak
menjadi masalah selagi aktivitinya berada di bawah pengawasan pemerintah
wilayah, sebagai penerusan kuasa pemerintah pusat, yang dalam hal ini dipegang
oleh sanjak bey. Hubungan yang rapuh ini membawa petaka
berupa konflik yang disebabkan oleh perbezaan kepentingan. Pada satu sisi, ayan merupakan wakil autonomi
daerah dalam mengelola potensi ekonominya.
Manakala, pada sisi lain pemerintah tetap mempertahankan pendekatan
kuasa pusat yang cenderung mutlak.
Dalam skala yang kecil, perkara ini boleh menyebabkan pengagihan sumber
daya ekonomi daerah yang tidak berkesan.
Sedangkan dalam skala yang besar, perkara ini dapat mengakibatkan
peperangan di antara pemerintah pusat dan kuasa daerah.
Menjelang
tamatnya periode ini, terutamanya sebagai akibat dari peperangan yang berlaku
pada tahun 1768-1774 M di antara kerajaan Utsmaniyah dan Rusia yang
menghabiskan banyak sumber dana negara, pemerintah pusat terus kehilangan
darjat dan kekuasaan daerahnya. Konflik
antara ayan dan pemerintah pusat
terus membebani pemerintahan Sultan Selim III (1789-1807 M) sehinggalah beliau
digantikan dengan Sultan Mahmud II pada tahun 1808 M, atas sokongan Mustafa
Pasha, yang merupakan pemimpin para ayan
yang berasal dari Ruscuk. Pada tahan
yang sama, perjanjian Sened-I Ittifak
(Pakatan Bersekutu) ditandatangani, di mana pemerintah pusat Porte mengakui serta membenarkan hak
kepemilikan ayan10,
termasuklah hak warisan kekuasaan pada anak keturunannya dan kebebasan dari
campur-tangan pegawai pemerintah pusat di wilayah.
Peningkatan
peranan pentadbiran golongan ayan juga
seiring dengan peningkatan prestij politik dari golongan itu. Kini,
ayan memiliki sekutu baru, iaitu golongan ahli perniagaan yang mendiami
kota-kota. Kedua-dua pihak ini memiliki
beberapa kepentingan yang sama terutamanya dalam keperluan mendapatkan
perlindungan peribadi, kebebasan berdagang, keghairahan dalam menjalani
aktiviti ekonomi dan tentangan mereka terhadap polisi mutlak berpusat. Mungkin juga dari beberapa persamaan ini,
lahir benih-benih nasionalisme yang memiliki akar ekonomi dan sosial yang amat
kuat pada periode seterusnya.
4. Periode Nasionalis-Birokratik Moden 1808-1918 M
Sultan
Selim III dan juga Sultan Mahmud II
telah cuba melakukan reformasi pemerintahan untuk mengembalikan keberkesanan
pemerintahan pusat. Kedua-duanya
melakukan pembaharuan yang sama iaitu membentuk angkatan bersenjata dan
organisasi birokrasi pusat yang baru, yang secara tidak langsung melahirkan
strata sosial pemerintahan yang baru.
Dengan
demikian, pemerintah pusat menjalankan peranan baru di bidang pendidikan,
pertanian, serta perdagangan yang dahulunya dipegang oleh institusi keagamaan,
inisiatif masyarakat secara sukarela
yang tidak pernah lakukan oleh negara sebelumnya. Tujuan
utama reformasi periode ini ialah untuk melemahkan kedudukan ayan dengan mengembalikan kuasa ke
tangan pemerintah pusat. Pada masa yang
sama, reformasi ini juga bertujuan mengurangkan campur tangan pihak asing dalam
sistem ekonomi kerajaan Utsmaniyah.
Tujuan
lain reformasi ini dapat dilihat sebagai usaha kerajaan Utsmaniyah memperbaiki
tingkat pengerahan dan kecekapan pengelolaan sumber daya yang ada, pemerataan
tingkat pelayanan terhadap keperluan masyarakat, dan mencegah satu golongan
masyarakat menguasai struktur serta perkakas pemerintahan. Berhadapan dengan situasi ini, golongan ayan terbahagi dua dalam sikap mereka
terhadap pemerintah pusat. Pada satu
sisi, terdapat sekelompok ayan yang
melihat semua ini sebagai upaya mengambil alih kuasa mereka, manakala di sisi
lain terdapat pula kelompok yng menganggap reformasi ini sebagai usaha untuk
meningkatkan pertahanan kerajaan dan bermanfaat bagi keberadaan mereka yang
juga diancam oleh pihak luar.
Sultan
Selim II menerima akibat buruk dari usaha reformasinya. Dia digulingkan dari takhta oleh pasukan Yeni Ceri yang bimbang kedudukannya
digantikan dengan angkatan tentera
bersenjata yang baru. Apabila peperangan
dengan Rusia kembali tercetus pada tahun 1812 M, Sultan Mahmud II menggunakan
kesempatan itu untuk menghancurkan pasukan ayan
pada tahun 1815 M, yang disusuli dengan pembubaran Yeni Ceri pada tahun 1826 M.
Dengan melaksanakan pimpinan elit ayan, Sultan Mahmud II berjaya menghapuskan ancaman
terhadap kuasa pemerintahan pusat, tetapi sama ada dia sedar ataupun tidak,
tindakan itu telah memusnahkan harapan terwujudnya lapisan kelas menengah
Utsmani yang ternyata sangat diperlukan untuk memasuki abad persaingan ekonomi
moden.
Bukan
hanya kerajaan Utsmaniyah yang kehilangan kelas menengahnya, tetapi perkara
penting yang perlu diperhatikan ialah, hilangnya kelas menengah Muslim dalam
masyarakat Utsmani. Kini, kelas menengah
itu diambil-alih oleh golongan elit dari segmen masyarakat bukan Islam. Kita dapat melihat bahawa sistem ekonomi
Utsmani terbahagi kepada dua kelompok besar.
Kelompok pertama terdiri dari golongan yang memegang aktiviti komersil,
yang hampir keseluruhannya dikuasai oleh masyarakat bukan Islam. Manakala kelompok kedua terdiri dari
kalangan yang terlibat dalam pertanian, yang majoritinya terdiri dari
masyarakat Muslim. Dari kenyataan ini,
kita dapat menduga akan kelahiran benih-benih nasionalisme di wilayah Utsmani
yang kelak bakal menjatuhkan kerajaan itu sendiri.
Setelah
berlakunya kejatuhan ayan,
kepemilikan tanah tetap memainkan peranan utama dalam setiap perubahan politik
mahupun sosial Utsmani. Sistem timar dihapuskan secara rasmi pada
tahun 1831, walaupun kita telah melihat yang peranannya sebagai tulang belakang
sistem telah lama tersingkir. Namun,
kepemilikan tanah yang dilakukan oleh pemerintah pusat secara rasmi, seperti
yang termaktub dalam sistem timar,
telah memungkinkan pendayagunaan tanah berada di bawah kekuasaan kerajaan
sehingga mencegah kewujudan kelas tuan tanah11 sehinggalah ke
pertengahan abad ke-18. Akan tetapi,
perkara ini jugalah yang menjadi kelemahan bagi kerajaan Utsmaniyah dalam
menghadapi pakatan di antara pergerakan nasionalis, kelompok kebebasan komersil
dan penguasa tanah bukan Islam di wilayah Balkan. Hampir satu abad diperlukan untuk mencipta
golongan yang sama pada segmen masyarakat Muslim Ustmani. Sebagai akibatnya, banyak tanah subur
terbiar di wilayah Utsmani.
Pada
masa-masa genting itu, terdapat suatu dilema di mana pemerintah pusat Utsmani
masih lagi dibelenggu kebimbangan.
Mereka khuatir berlaku semula perampasan atas kuasa pengelolaan tanah,
tetapi pada masa yang sama keperluan akan pendapatan pemerintah semakin
mendesak. Pendapatan kerajaan pada
ketika itu banyak bergantung pada cukai hasil bumi. Padahal di bahagian Eropah lainnya,
pengeluaran pertanian semakin meningkat, bukan saja kerana penerapan teknologi
pertanian yang maju, tetapi juga kerana kecekapan pengelolaan tanah melalui
sistem kepemilikan peribadi. Sebahagian
daripada golongan intelektual dan pemerintah Utsmani yang berpeluang berkunjung
ke negara-negara Eropah tertarik dengan sistem kepemilikan tanah secara
peribadi yang dianggap sangat cekap dan berkesan.
0 komentar:
Posting Komentar