Banyak golongan berpendapat kejatuhan Baghdad pada
tahun 656 H menandakan berakhirnya kejayaan Islam. Tahun 657 H dan 658 H berlalu di mana dunia
Islam tidak memiliki seorang khalifah pun.
Namun, takdir dan kehendak Allah mengatakan sebaliknya. Dua tahun selepas kejatuhan Baghdad,
panglima Mongolia menghantar surat kepada panglima pasukan Mesir, satu-satunya
negeri Islam yang selamat dari serangan bangsa Mongol, sama ada dari serangan
Hulagu Khan ataupun serangan Timur Lenk.
Saat itu, Mesir berada di bawah kekuasan dinasti Mamalik.
Surat
itu mengandungi ancaman bangsa Mongol kepada bangsa Mesir, yang meminta Mesir
membuka pintu dan menyerah diri pada kekuasaan Mongolia. Kalau Mesir enggan, pasukan Mongolia akan
menggunakan paksaan untuk masuk ke Mesir.
Panglima perang Mesir pada ketika itu ialah seorang lelaki soleh bernama
al-Muzhafar Saifuddin Qathaz. Surat itu terus dikoyakkan oleh Qathaz di
hadapan utusan panglima perang Mongolia.1
Qathaz
kemudiannya menyiapkan pasukan untuk menghadapi serangan bangsa Mongol. Pasukan Qathaz bersatu dengan pasukan para
ulama yang diketuai oleh Imam Izuddin bin Abdissalam. Imam Izuddin dan para ulama berjaya
menggerakkan rakyat untuk berjihad.
Mereka juga mengajak seluruh rakyat dan para tentera bertaubat, menjauhi
yang haram dan mengikhlaskan niat untuk berjihad, hanya untuk Allah SWT. Maka kekuatan para tentera, politik, ilmu
dan imam pun bersatulah.2
Pasukan
Qathaz mula bergerak pada bulan suci Ramadhan.
Allah mentakdirkan yang mereka berhadapan dengan tentera Tartar di Ain
Jalut, Palestin, pada hari Jumaat 25 Ramadhan 658 H, dua tahun selepas
kejatuhan Baghdad. Pada hari itu,
tentera Islam berjaya mengalahkan pasukan Tartar dalam peperangan yang sentiasa
diingati oleh bangsa Tartar, iaitu Perang Ain Jalut. Segala Pujian hanya untuk Allah.3
Setelah
tentera Islam berjaya menewaskan tentera
yang sebelum itu tidak pernah dikalahkan, Allah memberikan kemenangan lain
kepada kaum Muslimin, suatu kemenangan yang tidak pernah dibayangkan oleh
sesiapa pun. Bangsa Mongol yang selama
ini sentiasa menang dalam peperangan, menduduki berbagai negeri dan memiliki
kekuatan yang sangat besar, akhirnya masuk Islam atas kehendak dan pilihan mereka
sendiri. Pada mulanya, bangsa Mongol memeluk agama Islam
hanya sebagai simbol tanpa pengamalan
yang sebenarnya, tetapi akhirnya mereka melaksanakan ajaran Islam dan malah
mendirikan beberapa pemerintahan Islam di berbagai penjuru dunia.4
Keadaan
ini menjadi semakin sesuai bagi dinasti Mamalik melakukan berbagai reformasi dalaman. Antara reformasi yang terpenting dan yang
menjadi babak baru dalam sejarah Islam ialah pelantikan al-Mustanshir sebagai
khalifah. Dia berasal dari keturunan
Bani Abbas yang berjaya menyelamatkan diri dari serangan bangsa Mongol. Dengan demikian, pemerintahan Abbasiyah yang
hancur di Baghdad berjaya dibangkitkan semula oleh dinasti Mamalik, dengan
menjadikan Kaherah sebagai pusatnya.5
Pelantikan
al-Mustanshir sebagai khalifah Abbasiyah II berlangsung pada 13 Rejab 659 H di
Kaherah. Nama khalifah diletakkan pada
mata wang dan doa-doa dilakukan di setiap masjid. Khalifah juga diberikan gelaran al-Musthanshir Billah. Penduduk menyambut perlantikannya itu dengan
gembira. Setiap hari Jumaat, khalifah
mendirikan solat Jumaat dan sekaligus menjadi khatib dan imamnya.6
Penetapan
Kaherah sebagai pusat pemerintah Kerajaan Bani Abbasiyah II menjadikan Kaherah,
yang sebelum ini berperanan sebagai jalur perdagangan di antara Asia dan
Eropah, lebih penting. Ini adalah
kerana Kaherah menghubungkan jalur perdagangan Laut Merah dan Laut Tengah
dengan Eropah. Pada masa ini, pemerintah
memulakan hubungan dagang dengan Perancis dan Itali melalui jalur perdagangan
itu. Di samping itu, jaringan
pengangkutan dan konmunikasi antara kota, laut dan darat juga mula dibangunkan.
Di bidang ilmu pengetahuan pula,
Mesir mula menjadi taman yang subur dengan perkembangan para-para ilmuwan
Islam. Sejarah mencatat yang banyak
bidang ilmu pengetahuan berkembang pada masa ini, seperti sejarah, kedoktoran,
astronomi, matematik, ekonomi dan juga ilmu agama. Menurut catatan sejarah lagi, pemerintahan Abbasiyah II melahirkan tidak
kurang dari 203 fukaha, sufi dan ahli falsafah.
Dalam
ilmu sejarah, tercatat nama-nama besar seperti Ibnu Khalikan, Ibnu Taghribardi
dan Ibnu Khaldun. Dalam ilmu astronomi
pula, nama Nashiruddin at-Tusi adalah nama yang terkenal. Nama Abul Faraj al-Ibri dikenali dalam bidang
matematik. Dalam ilmu kedoktoran, Abu Hasan Ali an-Nafis ialah penemu susunan
peredaran darah dalam paru-paru manusia, Abdul Mun’im ad-Dimyathi ialah doktor
haiwan dan ar-Razi, perintis dalam bidang psikoterapi. Dalam bidang ilmu agama, ada as-Suyuthi dan
Ibnu Hajar al-Asqalani dan ramai lagi ilmuwan lainnya.7 Manakala dalam ekonomi, di antara nama yang dapat dikumpulkan ialah Ibnu Taimiyah
(661-728 H / 1263-1328 M), asy-Syatibi (wafat 790 H / 1388 M), Ibnul Qayyim
(691-751 H / 1292-1350 M), Ibnu Khaldun (732-808 H / 1332-1404 M) dan
al-Magrizi (776-845 H / 1364-1441 M).
Di
samping itu, pada masa Kerajaan Bani Abbasiyah II, berlaku juga banyak kemajuan
dalam bidang pembinaan. Ramai arkitek
didatangkan ke Mesir untuk membina sekolah-sekolah, rumah-rumah dan
masjid-masjid yang indah.
Kerajaan
Bani Abbasiyah II, yang mempunyai 18 khalifah, memimpin umat Islam selama 264
tahun (659-923 H).
0 komentar:
Posting Komentar