Categories

Lesson 6

Blog Archive

Follower

Statistik

Get Gifs at CodemySpace.com

Berakhirnya Pemerintahan Bani Abbasiyah I



Berbeza dengan polisi para khalifah Bani Umayyah yang lebih memberi tekanan pada aspek politik dan perluasan wilayah, polisi para khalifah Bani Abbasiyah lebih menekankan aspek pembangunan peradaban dan ilmu pengetahuan.   Polisi ini, pada satu sisi, memang menjadikan peradaban Islam berkembang dengan pesat, seperti yang dihuraikan di atas.  Tetapi di sisi lain, ia juga menyebabkan pemerintahan Bani Abbasiyah mengalami kelemahan secara politik.   Perkara ini ditandai dengan terlepasnya wilayah-wilayah di pinggiran kota.   Berbagai kepakatan jahat politik yang berlaku menyebabkan kewibawaan khalifah-khalifahnya pudar.  Sebagai akibatnya, banyak wilayah melepaskan diri dari kekuasaan khalifah Bani Abbasiyah.14


Faktor-faktor penting yang menyebabkan kemunduran pemerintahan Bani Abbasiyah pada periode ini, sehingga banyak wilayah berjaya melepaskan diri, ialah :15

1.         Keluasan wilayah yang berada di bawah pemerintahan Bani Abbasiyah membuatkan komunikasi pusat dengan daerah sukar dilakukan.  Di samping itu, kepercayaan di antara para pemimpin juga mula berkurangan.
2.         Polisi pemerintahan yang menjadikan pasukan bersenjata bercirikan profesional membuat khalifah terlalu bergantung pada angkatan tentera ini.
3.         Kewangan negara mengalami kesulitan kerana perbelanjaan yang dikeluarkan untuk pasukan tentera sangat tinggi.

            Di samping kelemahan yang berlaku dalam politik, pemerintahan Bani Abbasiyah juga mengalami kemunduran dalam bidang ekonomi.  Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah, pemerintahan Bani Abbasiyah di awal kekuasaannya adalah pemerintahan yang kaya dan baitul mal negara penuh dengan harta.16

            Setelah memasuki zaman kemunduran, pendapatan negara semakin menurun, manakala perbelanjaan semakin meningkat.  Pendapatan negara berkurangan kerana wilayah kekuasaannya menjadi semakin kecil, banyak rusuhan berlaku dalam negeri dan banyak wilayah melepaskan diri dan tidak lagi membayar ufti.  Di samping itu, keadaan politik yang tidak stabil menyebabkan ekonomi negara menjadi kucar-kacir.

            Pada ketika inilah, tentera Mongol dan Tartar yang dipimpin oleh Hulaghu Khan, cucu Genghis Khan, menyerang Baghdad.  Akhirnya, Baghdad berjaya mereka tawan tanpa berlakunya perlawanan yang besar.  Selepas itu, datang lagi serangan yang tidak kurang hebatnya dari tentera Mongol yang dipimpin oleh Timur Lenk (Tamerlane).  Dia berketurunan Karachar Noyan dan menjadi menteri pada masa pemerintahan Jagatai, putra Genghis Khan.  Sejarah mencatat berbagai peristiwa yang menimpa umat Islam pada periode ini.17

            Pemerintahan Bani Abbasiyah I yang berkedudukan di Baghdad dan yang memerintah dalam tempoh waktu yang cukup lama itu (dari tahun 132 H / 749 M) akhirnya ditumbangkan oleh serangan Mongol pada tahun 656 H / 1258 M.  Menurut catatan sejarah, pemimpin Mongol yang berkuasa pada masa pemerintahan Bani Abbasiyah I (132 H / 749 M hingga 656 H / 1258 M) ialah Temuchin atau Genghis Khan (1162-1227 M)18 dan Hulaghu Khan.  Kejatuhan kota Baghdad pada tahun 1258 M ke tangan bangsa Mongol bukan saja menamatkan pemerintahan Bani Abbasiyah I yang berkuasa selama 508 tahun 132-656 H), tetapi juga merupakan pemulaan dalam kemunduran politik dan peradaban Islam.

            Namun, dengan kehendak-Nya, roda sejarah terus berputar.   Setelah dua tahun dikuasai oleh bangsa Mongol dengan berbagai peristiwa yang berlaku semasa tempoh ini, kaum Muslimin berjaya merebut pemerintahan semula.  Bani Abbasiyah meneruskan pemerintahan – yang disebut oleh ahli sejarah sebagai Periode Abbasiyah II – dengan khalifah pertamanya iaitu Khalifah al-Mustansyir pada tahun 659 H / 1261 M.

0 komentar:

Posting Komentar