Pada
masa pemerintahan Bani Umayyah, Ilmu Ekonomi Islam secara bertahap berkembang
sebagai suatu bidang ilmu yang menjadi bahan kajian para fukaha, sufi, ahli
falsafah, ahli sosiologi dan juga ahli politik.
Para
cendekiawan itu bukanlah ahli-ahli ekonomi yang sebenarnya kerana pada masa
itu, klasifikasi disiplin ilmu pengetahuan belum lagi dilakukan. Mereka memiliki keahlian dalam berbagai
bidang ilmu. Besar kemungkinan inilah
yang menyebabkan mereka melakukan pendekatan antara disiplin, di antara ilmu
ekonomi dengan ilmu yang mereka kaji sebelumnya. Pendekatan ini membuat mereka tidak
menumpukan perhatian hanya pada variabel-variabel ekonomi semata-mata.35
Menurut
Dr. Umar Chapra, para cendekiawan ini menganggap kesejahteraan umat manusia sebagai
hasil akhir daripada interaksi di antara faktor ekonomi dan faktor-faktor lain
seperti moral, sosiologi, demografi dan juga politik. Semua faktor tersebut berpadu menjadi satu,
sehingga tidak ada satu faktor pun yang dapat memberi sumbangan optimum tanpa
sokongan faktor yang lainnya.36
Menurut
Muhammad Nejatullah Shiddiqi37, ilmu ekonomi dari para fukaha
kebanyakannya lebih bersifat normatif, iaitu berkaitan dengan ciri-ciri yang
terperinci : perilaku yang adil, polisi
yang sesuai, dan batasan yang dibenarkan dalam menyelesaikan masalah dunia.
Dia
juga mengatakan yang sumbangan utama tasawuf bagi pemikiran ekonomi ialah
anjuran untuk menarik diri secara tetap (constant
pull) untuk tidak memberi nilai terlalu tinggi pada kekayaan material dan
satu dorongan yang keras (persistent
push) untuk memerhatikan kepentingan orang lain dan tidak mementingkan diri
sendiri melebihi ciptaan Allah.
Ahli
falsafah Muslim mengikut cara ahli falsafah Yunani, khususnya Aristotle
(367-322 SM), tetapi masih tetap setia pada syariah dengan segala ketulusan
hati, terutamanya dengan memberi lebih perhatian kepada sa’adah ataupun kebahagiaan dalam erti yang paling luas. Secara umum, cara mereka berfikir kerap kali
menjurus ke arah fenomena ekonomi makro.
Perkara ini berbeza dengan para fukaha yang telah terikat perhatiannya
pada masalah-masalah ekonomi mikro.38
Aliran
utama pemikiran ekonomi Islamik datang dari para fukaha, tetapi para sufi dah
ahli falsafah juga berjaya menambahkan bahan-bahan kepada aliran ini, yang
meratakan jalan bagi suatu sistesis untuk tempoh berikutnya.
Berbeza
dengan para pemikir ekonomi konvensional, para pemikir Muslim dalam bidang
ekonomi tidak melahirkan mazhab-mazhab ataupun aliran ekonomi yang kebenarannya
ataupun masa berlakunya dibatasi oleh ruang dn waktu. Tulisan mereka merujuk pada sumber yang sama iaitu pada
Al-Quran, Sunnah dan fikah, jadi pemikiran mereka pada dasarnya tetap berlaku
dan boleh dianggap benar sepanjang zaman, sehingga terus berkembang kelengkapan
dan kesempurnaannya.
Perbezaan
pendapat di antara para fukaha mungkin juga berlaku, tetapi hanya pada
penafsirannya saja kerana mereka menggunakan kaedah yang berbeza. Menurut catatan Abdullah Musthafa al-Maraghi,
sepanjang pemerintahan Bani Umayyah, terdapat lebih dari 14 orang yang pakar
dalam bidang fikah.39
Di
antara para fukaha, yang menulis tentang pemikiran ekonomi yang berjaya
dikumpulkan oleh Muhammad Nejatullah Siddiqi,40 ialah : Imam Abu Hanifah (80-150 H / 699-774 M),
Al-Awza’i (88-157 H / 707-774 M), Imam Malik bin Anas (93-197H / 712-795 M), Abu Yusuf (113-182 H / 731-798
M) dan Muhammad bin Hasan asy-Syaibani
(132-189 H / 750-804 M).
1. Imam
Abu Hanifah an-Nu’man (80-150 H / 699-774 M)
Abu
Hanifah dilahirkan di Kufah dan wafat di Baghdad dan hidup pada zaman Bani
Umayyah selama 52 tahun, bermula dari pemerintahna Khalifah Abdul Malik (86 H /
685 M) dan pada zaman Bani Abbasiyah selama 18 tahun. Ahli hukum yang hebat ini juga seorang
pedagang yang berdagang di Kufah, yang pada ketika itu merupakan pusat kegiatan
komersil dalam keadaan ekonomi yang berkembang dan makmur. Terdapat sebuah urusniaga yang semakin popula
pada wakti itu, iaitu salam ataupun kontrak penjualan suatu komoditi yang akan
diserahkan pada waktu akan datang dengan bayaran tunai pada waktu kontrak itu
dibuat. Abu Hanifah menemui banyak
sekali kekaburan dan kekeliruan tentang kontrak ini, sehingga mencetuskan
perselisihan. Dia cuba menghapuskan
perselisihan itu dengan menyenaraikan apa yang harus diketahui dan yang harus
dinyatakan dengan jelas dalam kontrak itu, seperti : jenis komoditi, kuantiti dan kualitinya,
serta tarikh dan tempat penyerahannya.
Abu Hanifah menetapkan syarat iaitu komoditi mesti berada di pasar untuk
jangka masa yang menghalang, di antara kontrak dan tarikh penyerahan, sehingga
kedua belah pihak tahu yang penyerahannya bakal terjadi. Dalam hal ini, pengalaman Abu Hanifah serta
pengetahuannya dalam selok belok berdagang banyak membantu dalam memberikan
pendapat yang bernas. Tindakannya sangat
bijaksana kerana menghindari perselisihan dengan menghapuskan kekeliruan adalah
tujuan dari syariah yang berkaitan dengan hal urusniaga.
Perkara
lain yang diambilkira ialah tentang murabahah
(kontrak penjualan dengan kenaikan atas harga beli). Pengetahuan secara langsung yang Abu
Hanifah miliki tentang selok-belok perdagangan membolehkan dia menentukan
peraturan yang dapat menjamin pelaksanaan urusniaga yang adil. Abu Hanifah juga memberikan jalan
penyelesaian untuk masalah perdagangan lainnya, yang mana berkaitan dengan
norma-norma Islam.
Imam
Abu Hanifah sangat mengambil berat tentang golongan miskin dan lemah. Oleh kerana itu, dia tidak membebaskan
barang-barang kemas dari zakat. Pemilik
yang memiliki hutang juga diharuskan membayar zakat. Dalam hal ini, Abu Hanifah menolak
pelaksanaan muzara’ah (kontrak bagi hasil pertanian) semata-mata kerana
keinginannya membela golongan yang lebih lemah, iaitu golongan petani kecil
yang mana tanahnya mungkin tidak membuahkan sebarang hasil.
2. Al-Awza’i (88-157 H / 707-774 H)
Abdurrahman al-Awza’i dari Beirut
sebaya dengan Imam Abu Hanifah. Dia
hidup semasa zaman pemerintahan Khalifah Bani Umayyah bermula dari Khalifah
al-Walid (86 H / 705 M). Dia ialah pengasas sebuah aliran hukum agama tetapi
tidak dapat bertahan lama. Al-Awza’i
membenarkan kebebasan berkontrak dan memberi kemudahan pada orang dalam
urusniaga mereka. Dia juga membenarkan
perkongsian hasil pertanian (muzara’ah),
sesuai dengan keperluannya, seperti mana dia membolehkan perkongsian keuntungan
(mudharabah). Dia membenarkan modal diberi dalam bentuk
tunai ataupun dalam bentuk semulajadi (namun ada beberapa ahli hukum lain
mengharuskan tunai). Pendekatannya dalam
hal-hal kontrak salam juga fleksibel.
3. Imam Malik bin Anas (93-197 H / 712-795 M)
Imam
Malik bin Anas wafat di Madinah dan hidup semasa zaman pemerintahan Khalifah
Bani Umayyah, bermula dari Khalifah al-Walid
(86H / 705 M). Beliau ialah
pengasas sebuah aliran hukum Islam yang lain dan pemegang kuasa tradisi hidup
kota Nabi, iaitu Madinah. Karyanya yang
terkenal ialah kitab al-Muwattha’,
sebuah kitab hadis yang berbentuk fikah ataupun kitab fikah berbentuk
hadis. Inilah kitab hadis dan fikah
tertua yang pernah dijumpai.41
Walaupun
dia tidak banyak memberi pandangan tentang ekonomi, terdapat dua perkara
penting yang mesti diperhatikan, iaitu :
Pertama,
Imam Malik berpendapat pemimpin harus bertanggungjawab atas kesejahteraan
rakyat. Dia mengingatkan para pemimpin
bagaimana Umar bin Khattab, khalifah kedua, mengambil berat tentang keperluan
rakyat dan mendesak pemimpin sesudahnya melakukan perkara yang sama.
Kedua,
tentang al-maslahah al-mursalah. Maslahah sama dengan kepentingan/
kebaikan/kegunaan/manfaat baik untuk individu mahu pun untuk masyarakat. Mursalah pula bermakna bebas, tidak
terbatas, tidak terikat. Merujuk kepada
asas syariah, Imam Malik dibimbing oleh maslahah
untuk segala perkara yang tidak termasuk dalam teks Al-Quran dan Sunnah.
Dengan
menggunakan dua elemen di atas, secara jelas Imam Malik mengakui hak dari
pemerintahan Islam untuk memungut cukai apabila diperlukan seperti yang
disebutan secara khuss dalam syariah.
4. Abu Yusuf (113-182 H / 731-798 M)
Abu
Yusuf hidup pada masa pemerintahan khalifah Bani Umayyah, bermula dari Khalifah
Hisyam (105 H/724 M). Dialah ahli
undang-undang pertama yang secara eksklusif mengkaji makalah tentang polisi
ekonomi. Bukunya ‘Kitabul Kharaj’ diikuti
oleh karya-karya yang sama yang ditulis oleh ahli undang-undang yang lain di
kemudian hari. Dia memberi penekanan
pada tanggungjawab ekonomi yang dipegang pemimpin terhadap pemenuhan keperluan
rakyat, serta pengembangannya, keadilan dan kesesuaian dalam pencukaian, dan
kewajiban pemimpin dalam menggunakan wang rakyat yang mana adalah suatu
kepercayaan (amanah) yang harus dipertanggungjawabkan untuk setiap pengeluaran
yang dilakukan. Ini adalah tema-tema
yang sering diulang semula dalam semua tulisan tentang perkara yang sama. Dia menentang keras kutipan cukai pertanian
dan perkara ini dirasakan lebih adil.
Tindakan ini ialah untuk menghasilkan suatu pendapatan yang lebih besar
dan memudahkan perluasan kawasan yang
diusahakan. Abu Yusuf juga memberi
cadangan-cadangan secara terperinci tentang cara-cara agar pengeluaran mencapai
sasaran pembangunan pada pembinaan jambatan, empangan dan kerja-kerja
saliran. Walaupun sumbangan utamanya
terletak pada bidang kewangan negara, Abu Yusuf membincangkan juga tentang
polisi pengendalain harga. Perbincangan
ini membawanya ke perbahasan tentang bagaimana harga ditentukan dan bentuk
pengaruh dari berbagai jenis cukai yang berbeza.
5. Muhammad bin al-Hasan asy-Syaibani (132-189 H / 750-804 M)
Muhammad
bin al-Hassan hidup pada masa pemerintahan Khalifah Bani Umayyah, bermula dari
Khalifah Marwan H. al-Himar (127-132 H / 744-750 M) atau di akhir pemerintahan
Bani Umayyah. Dia menulis makalah
ringkas tentang pendapatan yang bertajuk Kitab al-Iktisan fir Rizq al-Mustathab
(Buku tentang Pendapatan untuk Kehidupan yang Bersih). Dalam makalah pendek ini, dia membicarakan
tentang kepentingan suatu pendapatan untuk hidup, yang diperkuat dengan suatu
perbincangan tentang cara utama untuk melakukannya, iaitu melalui : ijarah
(sewa), tijarah (perdagangan), zira’ah (pertanian) dan sina’ah (industri). Berbagai ketentuan syariah untuk
melaksanakan kegiatan ini diperkenalkan. Penulis juga menghuraikan perilaku
penggunaan seorang Muslim yang baik, dan menonjolkan kebahagiaan dalam memberi
derma dan pada masa yang sama, menunjukkan yang meminta-minta itu suatu
tindakan yang tidak elok.
Kitab
as-Asl dari Muhammad dan karya hukum lainnya merupakan bahan standard
untuk berbagai urusniaga termasuklah : salam (pesanan yang pembayaran
dibuat pada mulanya), syirkah (kerjasama usaha), mudharabah
(berkongsi hasil) dan lain-lain lagi.
Bersama dengan Abu Yusuf, dia membentuk asas utama aliran utama Hanafi
dan hukum Islam, di mana makalah Muhammad lebih banyak berkaitan dengan
perilaku ekonomi Muslim sebagai individu.
Manakala Abu Yusuf lebih banyak memberikan saranan kepada pemimpin
tentang polisi umum. Kedua-duanya
memberi kita gagasan yang lengkap tentang bagaimana kedua-dua pakar itu
mengimpikan suatu kehidupan ekonomi yang bercirikan Islam, baik secara individu
mahupun secara bermasyarakat. Tumpuan
mereka berpusat pada pertimbangan suatu peranan yang aktif dari negara untuk
menjamin agar semua keperluan dipenuh, wujudnya keadilan di antara manusia dan
juga pembangunan ekonomi.
0 komentar:
Posting Komentar