Sebagai
kepala negara di sebuah negara baru, iaitu Madinah, Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan berbagai tentangan dan
halangan. Beberapa masalah yang dapat
dikenalpasti pada awal pemerintah Nabi Muhammad SAW meliputi masalah yang
berkaitan dengan situasi sosial, politik dan ekonomi, yang mana kesemuanya
belum tertata sesuai dengan ajaran Islam.
1.
Masalah sosial
Masalah sosial timbul kerana
belum ada hukum dan peraturan yang berlaku secara umum. Pada waktu itu, penduduk Madinah terdiri
daripada tiga kelompok masyarakat yang berbeza14. Kelompok pertama ialah kaum Muslimin, yang
terdiri dari Kaum Anshar (Suku Aus, Khazraj dan penduduk asli negara Arab) dan
Kaum Muhajirin.
Kelompok kedua ialah
orang-orang musyrik yang menetap di beberapa kabilah di Madinah. Ada di antara mereka memeluk agama Islam
tidak lama selepas hijrah. Namun, ada
juga di antara mereka yang menyimpan perasaan dendam terhadap Rasulullah SAW
tetapi tidak berani menunjukkannya.
Tokoh kelompok ini ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah Perang Bu’ats, dia telah dilantik
sebagai pemimpin Yatsrib oleh kedua-dua suku besar yang bertikai (iaitu Aus dan
Khazraj). Tetapi sebelum perlantikan itu dijalankan, berita tentang kedatangan
Rasulullah SAW dan para sahabatnya tersebar luas, dan akhirnya kaumnya sendiri
ramai yang berpaling darinya.
Kelompok ketiga ialah kaum
Yahudi, yang terdiri dari tiga kumpulan besar (Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan
Bani Quraizhah) dan kira-kira 20 suku kecil.
2. Masalah Politik
Pada awal pemerintahannya, Rasulullah SAW terpaksa
berhadapan dengan keadaan dalaman di dalam Madinah, iaitu dua kelompok
masyarakat yang memendam kebencian terhadap Rasulullah SAW dan Islam. Mereka ialah golongan Yahudi dan golongan
Musyrikin di bawah pemimpinan Abdullah bin Ubay. Di samping itu, Nabi Muhammad SAW juga
berhadapan dengan keadaan luaran dari luar Madinah, iaitu tekanan dari pihak
Quraisy, yang dengan kedudukannya sebagai penjaga Ka’abah, menggunakan
diplomasi politik untuk menggalakkan orang-orang Musyrik di seluruh Jazirah
Arab agar memusuhi penduduk Madinah, sehingga menjadikan Madinah wilayah yang tidak dipedulikan dan tidak mendapat
hasil dari luar15.
3. Masalah Ekonomi
Tonggak ekonomi di Madinah
adalah pertanian dan penternakan, manakala kepakaran kaum Muhajirin adalah
berdagang. Di samping itu, kaum
Muhajirin yang datang dengan jumlah yang ramai ke Madinah memerlukan belanja
hidup dan tempat tinggal yang sesuai.
Kaum Anshar berkongsi pohon-pohon kurma mereka dan menawarkan
tanah-tanah mereka kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kepada akum
Muhajirin. Beliau kemudiannya membina
rumah-rumah di atas tanah-tanah tersebut.16
Di sinilah terlihatnya
kedermawanan kaum Anshar, seperti yang digambarkan dengan indah dalam Al-Quran
:
“Dan
orang-orang (Anshar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum
mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada
pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada
orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang
berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam
keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta
memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah
orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Hasyr [59] : 9).
0 komentar:
Posting Komentar