Pemerintahan Utsmaniyah merupakan periode
terpanjang dalam sejarah kekhalifahan kaum Muslimin. Kerajaan Utsmaniyah menjadi pemerintahan
Islam terkuat selama lima abad, malah ia merupakan negara terbesar di dunia
pada masa itu.
Secara
ringkas, kekuatan Utsmaniyah mula berkuasa ketika Ertugrul Beg (Ertoghrul)
mengambil keputusan membantu pasukan Alauddin, Sultan Konya, sehingga dapat
mengalahkan pasukan Mongol dalam satu pertempuran.1 Untuk membalas jasanya, dia diberi wilayah
Eskishehir, yang terletak di sebelah barat dataran tinggi Anatolia di Asia
Kecil. Wilayah ini kemudiannya diperluas
pada masa Osman (Utsman), anak Ertogrul yang juga berjaya membantu Alauddin
memenangi peperangan dengan pasukan Byzantium.
Atas jasa Utsman, pada tahun 1284 M, Sultan Alauddin memberikan gelaran Beg
(gelaran untuk kepimpinan Saljuk) dan tanggungjawab memimpin wilayah Eskishehir
yang juga merupakan sempadan di antara Islam dan Byzantium. Suku yang kemudiannya lebih dikenali sebagai
Osmanli (Utsmani) ini berasal dari suku Qayigh, dari suku Turki Oghuz. Suku inilah yang menerajui pemerintahan
Kesultanan Saljuk sejak masa pemerintahan Sultan Giyaseddin Keyhusrev III
(1264-1283 M).2
Sejalan
dengan keruntuhan kekuasaan Saljuk, muncul lebih kurang dua puluh amiriah di
Anatolia, di mana wilayah Utsmani ialah yang paling kecil, tetapi yang paling
bersemangat menerapkan Islam sebagai landasan operasi negaranya. Pada tahun 1289 M, khutbah Jumaat mula
menyebut nama Utsman Beg sebagai amir dan ini menandakan permulaan awal periode
kemerdekaan kerajaan itu.
Kewafatan Utsman pada tahun 1326 M semasa membuka kota
Bursa menjadi tonggak penting dalam sejarah peletakan dasar pemerintahan
Utsmaniyah di Anatolia, yang seterusnya diterajui oleh anak Utsman, iaitu Orhan
Beg. Bursa kemudiannya menjadi ibu kota
pertama Kerajaan Utsmaniyah, di mana mata wang perak pertama kali dicetak pada
tahun 1327 M, atas nama Daulah.
Pencetakan wang ini bukan hanya menunjukkan keyakinan yang kuat pada
Kerajaan Utsmaniyah atas kebenaran misi yang dibawanya, tetapi juga menunjukkan
adanya perencanaan jangka panjang atas sistem kenegaraan daulah yang sedang
dibangunkan.
0 komentar:
Posting Komentar