Categories

Lesson 6

Blog Archive

Follower

Statistik

Get Gifs at CodemySpace.com

Keadaan Madinah Sebelum Hijrah



Yatsrib merupakan nama lama Madinah Al-Munawarah.  Ia sebuah kawasan yang tenang dan mempunyai tanah subur dan air yang banyak.  Ia dikelilingi oleh batu-batu gunung berapi yang berwarna hitam.  Wilayah paling penting ialah Harrah Waqim di bahagian Timur dan Harrah al-Wabarah di bahagian Barat.  Harrah Waqim lebih subur dan lebih padat penduduknya, berbanding dengan Harrah al-Wabarah.  Gunung Uhud berada di utara Madinah dan Gunung Asir di barat daya.  Terdapat banyak lembah di Madinah dan yang terkenal ialah Wadi Batsan, Mudhainib, Mahzur dan Aqiq.  Nama Yatsrib sudah ada dalam tulisan-tulisan Ma’ini, dan ini menunjukkan keunikannya4.


Sebelum kehadiran kaum Muhajirin, masyarakat Madinah kebanyakannya terdiri   daripada orang Yahudi.  Mereka menguasai keadaan ekonomi, politik dan juga berpengaruh dalam bidang pendidikan.   Mereka menetap di Harrah Waqim, sehingga ke bahagian timur Yatsrib, wilayah yang paling subur5.  Sumber-sumber tidak mempunyai data-data statistik tentang jumlah mereka, tetapi buku-buku sirah ada menyebut jumlah tentera yang dimiliki oleh setiap suku Yahudi.  Terdapat tiga suku besar Yahudi yang mendiami Yatsrib.  Mereka ialah Bani Qainuqa’ yang mempunyai 700 tentera, Bani Nadhir yang juga memiliki jumlah tentera yang sama dan Bani Quraizhah yang mempunyai 700-900 tentera6.  Jumlah tentera yang dimiliki oleh ketiga-tiga suku Yahudi ini lebih daripada 2,000 orang.  Ini belum lagi termasuk tentera suku-suku kecil yang tinggal di beberapa daerah Yatsrib yang lain.   As-Samhudi mengatakan terdapat lebih daripada 20 suku kecil Yahudi di kawasan itu7.

Yahudi meninggalkan pengaruh yang kuat di Madinah.  Contohnya, Yahudi mencadangkan pembinaan benteng dari Syria ke Yatsrib dan jumlahnya mencecah lima puluh sembilan8.  Mereka juga membawa kepakaran dalam bidang pertanian.  Ini sangat mempengaruhi perkembangan tanaman seperti kepala sawit, anggur, delima dan sejumlah tanaman yang menghasilkan biji-bijian9.  Begitu juga dengan perternakan ayam dan itik.   Kegiatan ekonomi mereka tertumpu pada amalan riba dan riba memang sudah wujud dalam perdagangan masyarakat Arab.

Selain daripada golongan Yahudi, terdapat juga bangsa Arab yang menetap di Madinah.  Golongan yang terkenal ialah Suku Aus, yang mendiami dataran tinggi, di sebelah kawasan Bani Quraizah dan Nadhir, dan juga Suku Khazraj, yang mendiami dataran rendah, di sebelah kawasan Bani Qainuqa’10.  Kedatangan mereka menguntungkan orang-orang Arab, yang merupakan penduduk asli Yatsrib, dalam bentuk ekonomi dan juga meningkatkan jumlah penduduk.  Tidak ada statistik yang menyebut tentang jumlah penduduk Suku Aus dan Khazraj, tetapi kedua-dua suku ini menyediakan tentera seramai 4,000 ketika Fathu Mekah pada tahun 8 Hijrah11.

Perkembangan ini telah membuka peluang bagi mereka menguasai Yatsrib yang sebelum ini dikuasai oleh Yahudi.  Yahudi cuba mempertahankan kuasa mereka ke atas Yatsrib dengan memecahbelah dan menyebabkan konflik di antara dua suku besar ini.  Kemuncak konflik di antara kedua suku ini ialah tercetusnya Perang Bu’ats lima tahun sebelum Hijrah.  Aisyah r.a mengamati dengan teliti pengaruh peperangan dan konflik ini dan berkata,
“Allah mentakdirkan berlakunya Perang Bu’ats sebelum kedatangan Rasulullah SAW.  Ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, mereka (Suku Aus dan Khazraj) merupakan suku yang bermusuh dan ramai orang-orang yang berpengaruh di antara mereka terbunuh ataupun terluka.  Allah mentakdirkan perkara ini berlaku sebelum kedatangan Nabi, sehingga mereka dapat menerima Islam.

0 komentar:

Posting Komentar