Alhamdulillah, dengan
bantuanNya jualah amal-amal salih dapat disempurnakan. Kita tidak akan
mendapatkan hidayah jika bukan Allah yang menganugerahkannya kepada kita.
Salawat dan salam semoga dilimpahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. kepada
kaum keluarganya serta orang-orang yang mengikuti sunnahnya sehingga hari
Kiamat.
Saya atas nama
peribadi dan juga atas nama rakan-rakan di negara-negara kawasan Arab Timur
menyampaikan salam mesra kepada saudara-saudara semua. Saya merasa berbahagia
dapat berada di dalam negara Islam dan beramah mesra bersama-sama rakan-rakan
Muslim. Saya juga merasa bertuah kerana dapat bersua muka dengan belia-belia
Islam yang bertekad untuk memperjuangkan agama Allah dan menjadikkannya sebagai
prinsip kehidupan tertinggi.
Tidak dapat dinafikan
bahawa ekonomi memiliki fungsi dan peranan yang sangat penting dalam kehidupan
moden. Beberapa dekad yang lalu kita menyaksikan perbalahan ekonomi antara
sistem ekonomi komunis dengan sistem ekonomi kapitalis. Selepas keruntuhan
sistem komunis, kaum kapitalis kini telah berjaya menguasai pasaran ekonomi
seluruh dunia.
Islam memandang
ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri
meruapakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan
asas itu ialah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta. Inilah lima
perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Sebab melengahkan
perkara sedemikian boleh membahayakan diri sendiri.
Islam merupakan
risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi
dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah
mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya:
Maksudnya:
Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi
pekerti yang mulia.
Allah s.w.t.
mengesahkan sabda baginda tersebut dengan menurunkan ayat al-Quran yang memuji
keluhuran budi pekerti baginda s.a.w. Terjemahan: Sesungguhnya engkau
(Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung. (Surah al-Mulk 68:4)
Isteri Rasulullah
s.a.w. menafsirkan perkataan budi pekerti atau akhlak yang agung ini seraya
berkata, "Sesungguhnya akhlak Nabi s.a.w. itu ialah al-Quran."
Sesiapa yang membuka
al-Quran dan mendalami kandungan maknanya nescaya dia akan meyaksikan aplikasi
dan perlaksanaannya pada kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Kita dapati akhlak
orang-orang muttaqin dalam surah al-Baqarah, budi pekerti 'Ibad ar-Rahman'
dalam surah al-Furqan serta akhlak-akhlak mulia yang lain tercermin dalam
tindak-tanduk kehidupan Rasulullah s.a.w.
Islam mengajarkan
kita bagaimana cara bermuamalah antara manusia dengan Tuhan dan antara manusia
dengan manusia. Islam juga mengajarkan kepada kita kaedah berinteraksi antara
muslim dengan orang kafir dan sikap kita kepada mereka sama ada dalam
peperangan atau dalam keadaan damai. Bahkan Islam juag memberitahukan kepada
kita cara memperlakukan haiwan dengan baik.
Seluruh segi
kehidupan Islam tidak boleh dipisahkan daripada akhlak dan budi pekerti. Ilmu
pengetahuan, politik, peperangan dan ekonomi semuanya berkaitan secara rapat
dengan akhlak dan budi pekerti. Ilmu pengetahuan tidak akan memiliki sebarang
nilai jika tidak disertakan dengan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang
baik. Itulah sebabnya mengapa Rasulullah s.a.w. pernah memohon perlindungan
Allah daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
Maksudnya: Ya Allah
aku memohon perlindungan-Mu daripada mendapat ilmu yang tidak bermanfaat.
Para ulama sepakat
mentakwilkan 'ilmu yang tidak bermanfaat' dalam sabda Rasul itu sebagai ilmu
yang tidak diiringi dengan akhlak dan budi pekerti yang baik. Al-Quran sendiri
mencela orang-orang alim yang tidak berakhlak dengan firman Allah berikut:
Terjemahan: Perumpamaanya
ialah seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijulurkan lidahnya dan jika kamu
membiarkannya nescaya dijulurkannya juga lidahnya. (Surah al-A'araf 7: 176)
Sejarah telah
menceritakan kepada kita betapa banyak tamadun masa silam yang maju dan gemilang
tetapi runtuh dan musnah dalam masa yang singkat kerana tidak diiringi dengan
kawalan akhlak dan budi pekerti yang baik.
Begitu pula, politik
tidak boleh terpisah daripada akhlak. Islam tidak membenarkan berlakunya
sebarang cara kotor dalam permainan politik. Konsep Machiavelisme yang
menghalalkan segala cara demi tercapainya tujuan merupakan konsep yang
bercanggah dengan konsep Islam. Sebab Islam tidak rela seorang Muslim mencapai
tujuan-tujuan mulia kecuali dengan cara dan sarana yang bersih pula. Senjata-senjata
kotor yang digunakan dalam politik speerti rasuah, wanita, penindasan,
menggunakan orang-orang yang naif dan daif untuk kepentingan politik adalah
tidak dibenarkan oleh Islam.
Kita juga menyaksikan
peperangan dalam Islam tidak terlepas daripada aspek akhlak dan budi pekerti
yang baik. Peperangan ialah satu peristiwa luar biasa yang menuntut kita untuk
bersikap di luar batas yang wajar. Namun dalam keadaan seperti itu pun Islam
melarang kira untuk bersikap melampaui batas. Firman Allah:
Terjemahan: Dan
perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah
kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang
melampaui batas. (surah al-Baqarah 2: 190)
Rasulullah s.a.w.
pernah terkilan melihat seorang wanita kaum musuh telah terbunuh dalam satu
pertempuran. Maka sejak hari itu, dalam hampir setiap peperangan Rasulullah
s.a.w. sentiasa mewasiatkan para sahabat agar tidak membunuh kaum wanita,
kanak-kanak dan orang-orang tua yang sudah uzur. Baginda juga melarang para
sahabat menebang pokok atau meruntuhkan bangunan tanpa alasan yang munasabah.
Sunnah Rasulullah s.a.w. ini diikuti pula oleh Khalifah Abu Bakar dan
khalifah-khalifah setelahnya.
Menyaksikan gaya
pertempuran Islam yang penuh adab dan akhlak ini seorang cendekiawan Barat
bernama Gustav Lobone berkata: "Sejarah tidak pernah menyaksikan pembuka
(penguasa) negeri yang lebih adil dan lebih bertoleransi daripada orang-orang
Arab (Islam)."
Pernah dalam satu
peperangan melawan kaum kafir para sahabat memperolehi kemenangan dengan izin
Allah s.w.t. dna mereka berjaya membunuh ketua kaum kafir tersebut. Mereka
membawa kepala ketua kaum kafir itu ke hadapan Abu Bakar r.a. Abu Bakar r.a.
terkejut dan marah melihat benda yang dibawa ke hadapannya itu.
"Apa ini?",
katanya. "Ini ialah kepala ketua kaum kafir." "Mengapa kamu
penggal kepalanya dan kamu bawa ke hadapan saya?" "Sebab mereka pun
berbuat hal yang serupa terhadap para pemimpin kita." "Celakalah kamu,
adakah kamu ingin agar kita mengikuti tradisi jahat bangsa Parsi dan Romawi?
Demi Allah! Selepas hari ini, jangna ada di antara kamu yang membawa kepala
manusia ke hadapan saya!"
Sebagaimana ilmu
pengetahuan, politik dan perang tidak boleh dipisahkan daripada akhalk, maka
demikian pulalah ekonomi. Jika kita perhatikan sistem ekonomi positif (sekular)
nescaya kita akan menemukan satu sistem yang tidak memperdulikan akhlak sama
sekali, terutama sistem ekonomi kapitalis. Sistem ekonomi seperti ini hanya
mementingkan keuntungan dan berapa banyak wang yang akan masuk ke dalam saku.
Nilai-nilai yang baik, betul dan berakhlak tidak pernah terlintas dalma
pemikiran mereka.
Akhlak merupakan
salah satu unsur-unsur yang paling utama dalam ekonomi Islam. Unsur ini begitu
menyerlah sehingga seorang cendekiawan Perancis mendefinisikan ekonomi Islam
itu sebagai ekonomi yang berakhlak.
Di samping akhlak,
terdapat nilai-nilai lain yang mewarnai ekonomi Islam, iaitu nilai Rabbani
(ketuhanan), nilai Insani (kemanusiaan) dna nilai Wasathi (moderat dan
sederhana).
Ekonomi Rabbani
mempunyai dua konotasi makna. Makna pertama daripada ekonomi Rabbani ialah: hak
unutk mengatur dan menetapkan hukum-hakam ekonomi ini hanya milik Allah. Allah
yang mengharam riba, penipuan, memakan harta manusia dengan cara yang batil dan
lain-lain, dan Allah juga yang menshariatkan dan mengesahkan transaksi urus
niaga yang bersih dan benar.
Makna kedua daripada
ekonomi Rabbani ialah: ekonomi yang merupakan sarana dan bukan tujuan. Ekonomi
merupakan satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk
membantunya dalam memenuhi perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sebab
bagaimanapun juga seluruh kehidupan ini akan berakhir dan bermuara di sisi
Allah.
Terjemahan: Dialah
(Allah) yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala
penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah
kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (surah al-Mulk 67: 15)
Dalam makna ini pula
kita mesti memahami konsep Istikhlaf (Kekayaan merupakan harta Allah yang
diamanahkan kepada manusia). Tugas manusia dalam memegang harta itu serupa
dengan seseorang yang diamanahkan untuk memegang satu tabung kebajikan. Dia
harus menjaga tabung ini dan hanya diizinkan untuk membelanjakannya sesuai
dengan kehandak pemilik harta yang asal. Jika pemilik harta memerintahkannya
untuk mendermakan sebahagian daripada harta itu untuk membina masjid,
rumah-rumah kebajikan atau madrasah dia akan segera memberikannya tanpa harus
merasa sebarang kerugian apa pun. Sebab harta itu sememangnya bukan miliknya
dan dia tidak akan kerugian apa-apa dalam mendermakannya.
Ekonomi Insani pula
membawa maksud perhitungan kemanusiaan sebagai asas dan prinsip ekonomi. Tidak
boleh manusia dikorbankan untuk memperolehi materi. Sebaliknya materilah yang
harus dikorbankan demi kepentingan manusia.
Ekonomi Wasathi
bermaksud ekonomi yang mengambil sikap pertengahan dan moderat. Jika sistem
ekonomi kapitalis menjadikan kepentingan individu sebagai paksi kepada seluruh
aktiviti ekonomi, dan sistem ekonomi komunis pula menjadikan kepentingan negara
sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, maka Islam mengambil jalan
pertengahan yang menyeimbangkan antara kepentingan individu dengan negara
sehingga tercapailah kehidupan yang harmoni.
Dan kriteria yang
terakhir ialah Ekonomi yang berakhlak. Seluruh aspek dalam ekonomi seperti
aspek pengedaran, urus niaga, pengeluaran dan penggunaan bersatu padu dengan
nilai akhlak dan budi pekerti yang baik. Allah tidak membenarkan seseorang
untuk memperolehi harta dengan cara yang batil untuk membina masjid atau
rumah-rumah kebajikan. Sebab Allah itu suci dan baik dan Allah hanya menerima
perkara-perkara yang suci dan baik pula. (Innallaha Tayyibun La Yaqbalu Illa
Tayyiba)
Islam memerintahkan
kita untuk mengembangkan harta dengan cara yang shar'iy, bukan dengan menipu,
mengamalkan riba atau merampas harta orang lain dengan cara yang batil. Islam
juga memerintahkan kita untuk membelanjakan harta yang kita perolehi dalam
perkara-perkara yang benar dan baik sahaja. Sebab harta itu merupakan harta
Allah dan ia hanya boleh dibelanjakan sesuai dengan kehendak dna peraturan
Allah sahaja.
Islam tidak menafikan
bahawa tujuan utama dalam ekonomi ialah untuk memperolehi harta yang sebanyak
mungkin. Tetapi Islam tidak membiarkan tersebarnya kesan negatif yang timbul
ekoran beberapa amalan dalam mencari harta dan keuntungan.
Semasa Islam mula
menguasai kota Mekah, orang-orang Musyrik dari merata jazirah Arab masih lagi
berdatangan ke kota Mekah untuk melaksanakan ibadah haji. Tetapi praktik ibadah
haji mereka dipenuhi dengan amalan-amalan syirik dan mereka melakukan tawaf
dengan cara bertepuk tangan dan berbogel. Rasulullah s.a.w. tidak boleh
membiarkan perkara itu terus berlaku. Baginda melarang orang-orang Musyrik itu
melakukan ibadah haji dan menghampiri Masjidil Haram.
Larangan baginda
s.a.w. ini menjadikan penduduk kota Mekah bersusah hati. Sebab mereka
memperolehi nafkah sehari-hair daripada hasil perniagaan pada musim haji.
Apabila orang-orang musyrik dilarang melakukan ibadah haji mereka pun mengalami
kerugian yang besar.
Allah s.w.t.
menyokong tindakan Rasulullah tersebut dan mencela para peniaga Mekah yang
hanya mementingkan keuntungan peribadi tanpa memperhitungkan kesan negatif
terhadap Islam.
Terjemahan: "Hai
orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang Musyrik itu najis, maka
janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu
khuatir akan menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu
daripada kurnia-Nya, jika Dia mengkehendaki." (surah at-Taubah 9: 28)
Benarlah firman
Allah. Setelah tahun itu Islam berjaya menguasai negeri-negeri Parsi dan Romawi
dan kaum Muslimin memperolehi harta rampasan yang berlimpah ruah. Begitu juga
tentang judi dan arak. Sebahagian orang melihat bahawa bermain judi dan
berniaga arak boleh mendatangkan keuntungan yang banyak. Islam mencegah hasrat
mereka untuk memperolehi keuntungan daripada menjual arak dan bermain judi
sebab Islam melihat mudharat yang lebih besar di sebalik amalan tersebut.
Firman Allah:
Terjemahan: Mereka
bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada kedua-duanya
itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa
kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya." (surah al-Baqarah 2: 219)
Ekonomi yang
berpaksikan kepada akhlak tidak akan mengorbankan nilai-nilai murni demi
mencapai keuntungan materi. Sebaliknya ia akan mengorbankan keuntungan materi
demi mencapai akhlak dan budi pekerti yang luhur.
Aquulu Qawli Haza Wa
astaghfirullaha Li Wa Lakun
Wassalamu'alaikum
Warahmatullah Wabarakatuh.
0 komentar:
Posting Komentar