Kekuasaan
Bani Umayyah berlangsung selama lebih dari pada 90 tahun. Ibukota negara dipindahkan dari Madinah ke
Damaskus. Sejarah mencatat yang Khilafah Bani Umayyah menyebarkan
Islam ke seluruh penjuru dunia. Pada
masa inilah, pengekodan bebagai bidang ilmu dan bahasa dimulakan. Pada zaman Bani Umayyah jugalah aktiviti
penterjemahan oleh salah seorang pemimpin mereka, Khalid bin Yazid bin
Mu’awiyah dimulakan.17
Di
antara 13 orang khalifah Bani Umayyah, tercatat lima khalifah yang
mengakibatkan kemajuan besar. Mereka
ialah Mu’awiyah bin Abu Sufyan (661-680 M), Abdul Malik bin Marwan bin Hakam
(685-705 M), Al-Walid bin Abdul Malik bin Marwan bin Hakam (705-715 M), Umar
bin Abdul Aziz (717-720 M) dan Hisyam bin Abdul Malik bin Marwan bin Hakam
(724-743 M).18
Menurut
seorang orientalis Barta, C.E. Bosworth, tiga orang khalifah dari Bani Umayyah
iaitu Mu’awiyah bin Abu Sufyan, Abdul Malik bin Marwan bin Hakam, Hisyam bin
Abdul Malik bin Marwan bin Hakam memerintah di Damaskus selama lebih kurang 20
tahun. Mereka adalah pemerintah kelas
satu dan gemar mengamalkan gaya pemerintahan Yunani dan Parsi.19
Seorang
khalifah Bani Umayyah yang lain, iaitu Umar bin Abdul Aziz dilantik berdasarkan
ijma’ (kesepakatan umat Islam)
sebagai Khulafur Rasyidin kelima dan bapa kemodenan Islam abad pertama.20 Sebahagian daripada mereka malah menobatkan
Umar bin Abdul Aziz sebagai ‘mahdi’ umat Islam.21 Lahirnya ijma’
itu bukan hanya kerana Umar bin Abdul Aziz rajin solat dan puasa, tetapi juga
kerana sifatnya yang adil dan amanah terhadap wang rakyat. Di samping itu, dia juga cekap dan mahir
dalam bidang politik dan pentadbiran negara sehingga wujud kemakmuran dan
kesejahteraan, walaupun tempoh pemerintahannya sangat singkat.22
Pada
masa pemerintahan Mu’awiyah, Tunisia berjaya ditakluk. Di sebelah timur pula, Mu’awiyah menguasai
Khurasan sehingga Sungai Oxus dan Afghanistan.
Angkatan tentera lautnya juga melakukan ekspedisi ke kota Byzantium.
Penguasaan
ke bahagian timur kemudiannya diteruskan oleh Abdul Malik, yang menghantar
tenteranya menyeberangi Sungai Oxus dan berjaya menawan Balkh, Bukhara,
Khawarizm, Ferghana dan juga Samarkhand.
Malah, bala tentera Abdul Malik juga sampai ke India dan berjaya
mengusai Balukhistan, Sind dan daerah Punjab, sampai ke Malta.
Manakala
penguasaan ke bahagian barat dilakukan secara besar-besaran pada zaman
pemerintahan Al-Walid bin Abdul Malik.
Al-Walid mempunyai empat panglima perang yang bertugas melindungi
benteng Islam. Mereka ialah Maslamah bin
Abdul Malik, Qutaibah bin Muslim Al-Bahili, Muhammad bin Al-Qasim dan Musa bin
Nushair, yang bersama-sama dengan Thariq bin Ziyad berjaya menembusi gerbang
Eropah untuk menakluk Andalusia.23
Pada
masa pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, penguasaan diteruskan ke Perancis
melalui Pergunungan Pyrenees. Penaklukan
ini dipimpin oleh Abdurrahman bin Abdullah Al-Ghafiqi.
Kejayaan
menakluk wilayah-wilayah di timur dan barat membuatkan kekuasaan Bani Umayyah
menjadi sangat luas. Ia meliputi
Sepanyol, Afrika Utara, Syria, Palestin, Jazirah Arab, Iraq, sebahagian Asia
Kecil, Parsi, Afghanistan, India, Pakistan, Purkmenia, Uzbekistan dan juga
Krigis di Asia Tengah.
Pada
masa pemerintahan Mu’awiyah, didirikan pejabat-pejabat rasmi dan tempat-tempat
tertentu dengan menyediakan kuda yang lengkap dengan peralatan di sepanjang
jalan. Pada masa ini jugalah angkatan
bersenjata dikawal dan jawatan hakim (qadhi)
mula berkembang menjadi kerjaya tersendiri.
Pada
masa pemerintahan Al-Walid bin Abdul Malik pula, didirikan rumah sakit pertama
dalam Islam, khusus untuk pesakit kusta.
Para pesakit diberi nafkah dan dilarang keluar.24
Dr.
Musthafa as-Siba’i mencatat fenomena menarik pada masa pemerintahan Bani Umayyah,
yang berkaitan dengan toleransi agama, yang memang menjadi salah satu
keunggulan peradaban Islam sejak masa Rasulullah SAW lagi. Semasa Bani Umayyah menakluk Damaskus,
orang-orang Nasrani di sana sanggup memberikan sebahagian daripada gereja
mereka, iaitu Gereja Agung Yohana kepada kaum Muslimin untuk dijadikan
masjid. Di kemudian hari, sebahagian
daripada gereja itu dijadikan Masjid Jamek Bani Umayyah.25
Fenomena
menarik yang lain pada masa ini ialah adanya toleransi keagamaan dalam
memberikan jawatan ataupun kedudukan penting dalam pemerintahan. Sekolah-sekolah kedoktoran di Damaskus dan
Baghdad banyak dibimbing oleh doktor-doktor Nasrani. Ibnu Usal, seorang doktor Nasrani ialah
doktor peribadi Mu’awiyah bin Abu Sufyan, dan Sir John ialah salah seorang
daripada setiausaha peribadinya.26
Khalifah
Abdul Malik bin Marwan melantik Asnasius dan seorang Nasrani lain untuk
memegang salah satu jawatan pemerintahan di Mesir. Asnasius kemudiannya memegang jawatan yang
lebih tinggi di Mesir dan memiliki kekayaan yang melimpah-ruah. Di antara kekayaannya ialah 400 orang hamba,
rumah-rumah, kedai, emas dan perak dalam jumlah yang besar. Dia mendirikan sebuah gereja di Urfa dari
hasil penyewaan 400 kedai yang dimilikinya.
Khalifah Abdul Malik juga memberi kepercayaan kepada Asnasius untuk
mengajar adiknya, Abdul Aziz, bapa Umar bin Abdul Aziz yang kemudiannya menjadi
gabenor Mesir.27
Gambaran
unik lainnya semasa pemerintahan Bani Umayyah ini adalah tentang kebebasan
agama lain meraikan perayaan umum agama mereka. Mereka bebas mengadakan perayaan itu di
jalan-jalan raya dan dikawal oleh tokoh-tokoh agama yang memakai pakaian
keagamaan mereka. Pernah berlaku semasa
pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik, di mana Ketua Biskop Michael memasuki kota
Iskandariah dalam perayaan yang meriah.
Di hadapannya, terdapat lilin-lilin, salib dan juta kitab Injil.28
0 komentar:
Posting Komentar