Dengan
latar belakang situasi sosial, politik dan ekonomi yang sedemikian, Nabi
Muhammad SAW mula memerintah Madinah.
Beliau kemudian segera melakukan
reformasi dalam segala bidang, terutamanya dalam bidang Sosial-Budaya,
Politik-Keamanan dan Ekonomi-Kesejahteraan Masyarakat.
Secara
umum, Dr. Muhammad Al-Ghazali mengatakan
langkah-langkah reformasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah
dalam rangka meletakkan dasar-dasar yang sangat diperlukan untuk melaksanakan
tugas-tugasnya18, iaitu :
·
Memperkuatkan
hubungan kaum Muslimin dengan Tuhan mereka.
·
Memperkuatkan
hubungan sesama kaum muslimin.
·
Mengatur
hubungan antara kaum Muslimin dengan golongan bukan-Muslim yang tinggal di
Madinah.
1. Reformasi dalam Bidang
Sosial dan Budaya
Sebagaimana yang telah
disebutkan, sebelum kedatangan Rasulullah SAW, Madinah tidak memiliki sistem
pemerintahan pusat. Ini membuatkan,
pada awal pemerintahannya, Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai sumber kewangan
yang boleh digunakan untuk membiayai pentadbiran dan pembangunan negeri. Jadi, Nabi Muhammad SAW tepaksa mengubah
keadaan secara perlahan-lahan dengan mengatasi masalah yang lebih penting dan
yang tidak bergantung pada faktor biaya.
Langkah-langkah reformasi yang
dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut ialah :
a. Membina Masjid Nabawi
Membina masjid menjadi
keutamaan terpenting kerana ia merupakan sarana untuk membangun dan menguatkan
akidah serta akhlak sesuatu masyarakat.
Dengan tertanamnya akidah yang kuat pada diri pengikut Rasulullah SAW,
reformasi sosial budaya masyarakat dapat dimulakan dan agar bertepatan dengan
ajaran Islam.
Sebahagian
besar tradisi, amalan, norma dan nilai, serta alat-alat keagamaan masa lampau
dibuang. Masjid ini menjadi tempat
berbagai kegiatan dan aktiviti seperti tempat bermusyawarah, pejabat
pemerintahan, mahkamah agung, markas tentera, pusat pendidikan, Baitul Mal dan
lain-lain lagi. Masjid ini didirikan secara gotong royong, sehingga tidak
menjadi beban kepada negeri19.
b. Menetapkan
Sistem Muakhah (Persaudaraan) di
antara Golongan Muhajirin dan Anshar
Di
samping membangunkan masjid, perkara lain yang diperlukan ialah satu sistem
yang dapat menjamin kesejahteraan hidup golongan Muahjirin. Ini adalah kerana status dan keberadaan
mereka meang memerlukan suatu penyelesaian yang begitu supaya mereka tidak
merasakan kehidupan mereka di Madinah terlalu bergantung pada golongan
Anshar. Atas dasar itulah, sistem muakhah diperkenalkan dalam
undang-undang rasmi20.
Perasmian
undang-undang itu diadakan di rumah Anas bin Malik r.a. Muakhah
terjadi di antara dua pihak : Muhajirin dan Anshar, secara berpasangan, iaitu
satu orang dari setiap kelompok21.
Muakhah
terdiri dari 90 orang; 45 dari golongan Muhajirin dan 45 dari Anshar. Dilaporkan bahawa tidak ada seorang Muhajirin pun yang
tertinggal. Semuanya menjadi saudara
dengan seorang Anshar22.
Undang-undang
sistem muakhah ini menghasilkan
hak-hak khusus di antara kedua-dua pihak yang menjadi saudara. Sebagai contoh, berlakunya tolong-menolong
yang tidak hanya terbatas pada masalah-masalah khusus tetapi terbuka pada
segala jenis bentuk pertolongan dalam menyelesaikan masalah kehidupan, sama ada
pertolongan dalam bentuk material mahupun dalam bentuk kata-kata nasihat,
masalah silaturahim ataupun cinta.
Sistem muakhah juga mencipta
situasi baru, iaitu mereka dapat saling mewarisi tanpa perlu ada hubungan
kekeluargaan. Perkara ini meletakkan
hubungan Muhajirin dan Anshar di tahap yang sangat tinggi, malah lebih tinggi
dari persaudaraan yang diikat atas dasar kekeluargaan23.
Sistem
warisan di antara dua saudara seagama ini merupukan suatu penyelesaian yang
tepat bagi situasi luar biasa di Madinah ketika itu. Namun, apabila golongan Muhajirin sudah biasa
dengan kehidupan di sana, belajar ‘bagaimana hidup’ di Madinah dan memperolehi ghanimah
(harta rampasan) dari Perang Badar, Allah SWT mengembalikan sistem warisan ke
bentuk asalnya, iaitu berdasarkan pada hubungan kekeluargaan. Penghapusan sistem warisan ini disebut dalam
dua ayat Al-Quran yang berbunyi :
“Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan
berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada
itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat itu sebahagiannya lebih
berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat)24 menurut
(hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu”. (Surah al-Anfaal [8] : 75).
“Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), Kami telah
tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan
kerabat yang terdekat dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia
dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka
berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan
tiap-tiap sesuatu” (Surah
an-Nisaa’ [4] : 33).
Langkah-langkah Reformasi Rasulullah SAW
·
Memperkuatkan
hubungan kaum Muslimin dengan Tuhan mereka.
·
Memperkuatkan
hubungan sesama kaum muslimin.
·
Mengatur
hubungan antara kaum Muslimin dengan golongan bukan-Muslim yang tinggal di
Madinah.
Dr. Muhammad Al-Ghazali
Berkaitan dengan ayat-ayat
ini, Ibnu Abbas r.a menjelaskan hanya persoalan warisan yang dihapuskan dalam
sistem muakhah, manakala bantuan,
pertolongan dan khidmat nasihat masih diteruskan25. Malah, dapat ditegaskan yang muakhah di kalangan orang-orang beriman
tidak dihapuskan, kecuali yang berkaitan dengan hak-hak waris. Orang-orang mukmin, sampai bila pun,
digalakkan membentuk muakhah di
kalangan mereka iaitu saling bantu-membantu, menjaga ikatan silaturahim dan
juga memberi kata-kata nasihat26.
c. Menetapkan Madinah Sebagai
Wilayah yang Disucikan
Seperti yang dinyatakan
sebelumnya, Madinah didiami oleh beberapa suku yang sering bertikai. Perdamaian harus segera dicapai, jadi Nabi
Muhammad SAW menetapkan Madinah sebagai wilayah yang bebas dari berbagai
pelanggaran dan persengketaan. Perkara
ini tertulis dalam dokumen rasmi dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW,
dokumen ini disimpan oleh Ali bin Abi Thalib r.a27. Dokumen itu ditulis pada tahun ke-2 selepas
hijrah. Ath-Thabari menjelaskan,
“Disebutkan bahawa pada tahun ini (tahun ke-2 H), Rasulullah SAW memiliki
teks-teks dokumen bertulis yang dikaitkan ke pedangnya.”28
Ali r.a menjelaskan sebahagian
daripada isi dokumen itu, “Kami tidak pernah
menulis sesuatu apa pun dari Rasulullah SAW, kecuali Al-Quran dan apa yang ada
dalam dokumen ini. Rasulullah SAW
bersabda, ‘Madinah adalah tempat perlindungan yang bermula dari atas gunung itu
sehingga ke tempat-tempat itu (sambil menunjukkan lokasi-lokasi itu). Jadi, sesiapa yang melakukan perbuatan bidaah
ataupun melakukan dosa, ataupun memberi perlindungan kepada penjenayah, akan
mendapat laknat Allah, para malaikat dan seluruh umat manusia, dan ibadahnya yang
wajib mahupun yang sunnah akan diterima di sisi-Nya.’”29
Ali r.a juga menjelaskan
sebahagian daripada isi dokumen yang lain, “Ibrahim menyucikan kota Mekah, dan
saya menyucikan seluruh Madinah antara dua Harrah. Tidak seorang pun boleh menanam tumbuh-tumbuhan liar ataupun
berburu binatang-binatang liar. Tidak
boleh menyimpan barang-barang yang ditemui tanpa mengumumkannya terlebih
dahulu. Tidak boleh memotong pokok
melainkan untuk digunakan sebagai makanan unta.
Senjata untuk beperang juga tidak boleh dibawa ke sini.”30
Dengan adanya dokumen ini,
Madinah berkembang menjadi wilayah yang aman dan damai.
d. Meletakkan Dasar-dasar
Kehidupan Bermasyarakat
Rasulullah SAW membangunkan
struktur-struktur masyarakat Madinah berdasarkan peraturan-peraturan yang
sangat toleran, melampaui kebiasaan yang berlaku pada zaman itu, yang mana
dipenuh dengan fanatisme kesukuan dan kebanggaan kaum.31
Ketika itu, beliau mendapati
yang golongan Yahudi telah lama tinggal di Madinah dan hidup bersama-sama
dengan kaum musyrikin. Rasulullah SAW
langsung tidak pernah terfikir untuk memusuhi ataupun menyingkirkan mereka dari
tanah Madinah. Sebaliknya, beliau dapat
menerima dengan baik kehadiran orang-orang Yahudi dan adanya paganisme di kota
itu. Beberapa waktu kemudian, beliau
menawarkan perjanjian perdamaian kepada kedua-dua golongan dan memberi
kebebasan kepada tiap-tiap kaum untuk menganut agama masing-masing32.
Beliau menjalankan
kepimpinannya dengan menerapkan system musyawarah, ukhuwwah Islamiah dan
menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak lain yang tidak beragama Islam dan
yang menetap di Madinah.
2. Reformasi di Bidang Politik
dan Keselamatan
Nabi Muhammad SAW menjalin
hubungan dengan berbagai lapisan masyarakat di Madinah dan semua ini tercatat
dalam sebuah catatan berdasarkan sumber-sumber sejarah. Tujuan catatan ini adalah untuk menunjukkan
kesungguhan setiap kelompok di Madinah dengan memberi batasan hak-hak dan
kewajipan. Dalam sumber-sumber lama,
catatan ini dipanggil al-Kitab (buku) dan ash-Shahifah
(koleksi lembaran-lembaran kertas).
Kajian moden memanggilnya ad-Dustur
(konstitusi) ataupun al-Watsiqah
(dokumen)33. Para pengkaji
kontemporari menggunakan catatan ini sebagai dasar kajian mereka tentang
reformasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di Madinah34.
Pada awalnya, dokumen itu
mengandungi dua bahagian. Satu bahagian
berkaitan dengan perjanjian damai Nabi Muhammad SAW dengan golongan Yahudi, dan
yang satu lagi menghuraikan komitmen, hak-hak dan kewajiban kaum Muslimin, sama
ada golongan Muhajirin ataupun golongan Anshar35. Para ahli sejarah menyatukan kedua-dua
perjanjian ini menjadi satu dokumen yang dikenali dengan nama Piagam Madinah36. Dengan adanya konstitusi ini, Madinah
mempunyai kedaulatan penuh sebagai sebuah Negara37. Pemerintah dan penguasa kebanyakannya terdiri
dari kaum Muslim, sehingga Madinah benar-benar menjadi ibukota bagi Islam38.
Langkah-langkah reformasi yang
dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bidang politik dan keselamatan ialah :
a. Membangun Sistem Pertahanan
Piagam Madinah mencerminkan keinginan kaum Muslim menjalin
kerjasama dan saling bantu-membantu dengan golongan Yahudi, yang bertujuan
untuk menjamin kesejahteraan di seluruh kota Madinah. Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk
menghadapi penentang dan pihak-pihak lain yang menganggu ketenteraman dan
menimbulkan kekacauan. Piagam itu juga
menunjukkan kewajiban semua pihak yang berjanji untuk menjaga hubungan baik dan
memelihara hak-hak individu dan masyarakat39.
Dengan
begitu, seluruh anggota masyarakat Madinah tidak terkecuali dari tanggungjawab
membela dan mempertahankan kedaulatan negara.
Pada
waktu itu, tidak ada pasukan tentera yang rasmi ataupun jabatan
pertahanan. Nabi Muhammad SAW
kemudiannya membentuk sebuah pasukan sukarela yang berjihad mempertahankan diri
dan negara dari serangan musuh40.
Perjanjian damai dengan kabilah-kabilah di sekitar Madinah juga
dilakukan untuk menguatkan kedudukan Madinah.
Pembentukan
pasukan sukarela dengan semangat jihad ini telah berjaya mempertahankan Madinah
dari serangan kaum musyrik QUraisy dalam Perang Badar tahun ke-2 Hijrah, Perang
Uhud tahun ke-3 Hijrah dan peperangan lainnya yang berlaku selepas tahun ke-6
Hijrah.
b. Membentuk Majlis Ulama dan Sekretariat Negara
(i) Pembentukan Masjlis Ulama
Rasulullah
SAW memegang tanggungjawab sebagai Ketua Negara, pemimpin dalam undang-undang,
Kadi Besar dan Mufti. Beliau juga
memimpin dan bertanggungjawab atas keseluruhan pentadbiran Negara. Untuk melengkapi pemerintahannya, Rasulullah
SAW membentuk Majlis Ulama iaitu seperti sebuah lembaga tinggi negara yang
turut merumus berbagai polisi. Anggota
majlis ini terdiri dari pemimpin-pemimpin kaum, di mana sebahagian dari mereka
bertanggungjawab mencatat wahyu41.
(ii)
Pembentukan Sekretariat Negara
Pada tahun ke-6 Hijrah, sebuah
sekretariat negara yang sederhana dibentuk.
Wakil negara dihantar ke berbagai negara. Mereka menjalankan tugas
secara sukarela dan menyara kehidupan sendiri.
Dalam Sekretariat Negara, Bilal bertugas mengurus keperluan rumah-tangga
Rasulullah SAW dan bertanggungjawab mengurus tetamu-tetamunya42.
3. Reformasi dalam Bidang
Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat
a. Memperkenalkan Dasar-dasar
Polisi Kewangan Negara
Ketika Nabi Muhammad SAW
membina Madinah, banyak jabatan pemerintahan belum lagi dibentuk. Perkhidmatan diberikan kepada orang ramai secara sukarela dan
percuma. Nabi Muhammad SAW juga
menggalakkan kaum mukminin agar menjalankan projek-projek tertentu. Para sahabat menyahut seruan itu dan memenuhi
keperluan social secara sukarela.
Ketika berlakunya darurat
seperti dalam peperangan, persiapan penting selalunya dibiayai oleh para
dermawan Muslim. Pengembaraan yang
paling penting, iaitu pengembaraan ke Tabuk yang melibatkan 30,000 orang
tentera dan 10,000 ekor kuda, dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan sukarela43. Dalam hal lain, salah seorang sahabat membeli
sungai untuk kepentingan umum ketika berlakunya kekurangan air43.
Pada awal pemerintahan Nabi
Muhammad SAW, pendapatan negara sangat kecil.
Sumber-sumber pendapatan hanya berasal dari zakat fitrah yang diwajibkan
pada tahun ke-2 Hijrah. Walaupun begitu,
semua pendapatan dan hasil yang berjaya dikumpul selalunya digunakan untuk
membantu anggota masyarakat yang miskin.
Setelah Perang Badar, yang
berlaku pada tahun ke-2 Hijrah, pendapatan negara semakin bertambah, iaitu satu
perlima dari harta rampasan peperangan (ghanimah)
yang disebut khumus, berdasarkan ayat
Al-Quran Surah Al-Anfaal ayat 41.
Sebagai pihak yang menang dalam Perang Badar, selain khumus, diperolehi juga pendapatan dari tebusan
tawanan perang, bagi yang
ditebus.45
Penerimaan khumus ini membantu negara menjalankan
berbagai fungsi penting seperti pertahanan, memenuhi keperluan seharian,
membantu orang miskin, anak-anak yatim dan juga anggota tentera. Nabi Muhammad SAW juga menggunakan pendapatan
ini untuk kebaikan kaum muslimin dan perbelanjaan keluarganya.46 Jadi, penerimaan khumus – walaupun kecil – banyak membantu dalam pelaksanaan
berbagai fungsi sosio-ekonomi negara. Di
samping itu, ghanimah juga memiliki
kesan ekonomi kerana ia membantu meringankan masalah kewangan para tentera.47
Sebagai kesan dari
pengkhianatan Bani Nadhir terhadap Nabi Muhammad SAW setelah Perang Uhud,
mereka memilih untuk meninggalkan Madinah.
Tanah milik mereka yang ditinggalkan – yang dipanggil fai’ – diberi kepada golongan miskin. Di samping itu, Nabi
Muhammad SAW menjadikan tanah fai’
yang menjadi bahagiannya sebagai tanah sedekah dan ini adalah tanah wakaf
pertama dalam sejarah Islam.48 Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW berusaha
sedaya upaya untuk menegakkan suatu keseimbangan yang wajar dalam masyarakat
dengan memberi seluruh kekayaan yang diperolehi dari fai’ kepada golongan miskin.49
Berkaitan dengan pengagihan fai’ ini, Nabi Muhammad SAW sangat taat
pada perintah Allah SWT yang melarang kekayaan itu terkumpul di tangan
orang-orang kaya saja. Beliau
mengagihkan fai’ sesuai dengan dengan petunjuk Allah SWT, seperti yang
dijelaskan dalam Al-Quran :
“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk
negeri, bandar ataupun desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu
bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan
anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang
memerlukan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di
antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa
oleh Rasulullah kepada kamu maka
terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka
patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)” (Surah Al-Hasyr [59] : 7)
Ayat ini menjelaskan satu
prinsip yang sangat penting, iaitu negara harus sentiasa menolong orang-orang
susah melalui setiausaha negara ataupun dari kelebihan harta orang-orang kaya,
sehingga jurang pemisah di antara kaya dan miskin tidak akan bertambah besar,
yang mungkin dapat menganggu keseimbangan masyarakat Islam.50
Oleh kerana adanya
sumber-sumber pendapatan negara, maka sebuah lembaga untuk mengurus kepentingan
kewangan negara diperlukan.
b. Membentuk Baitul Mal sebagai Kekayaan Umum
Menurut
Dr. Kadim as-Sadr, apabila pendapatan yang diperolehi dari khumus, zakat, jizyah, kharaj (sewa tanah) itu tinggi, Nabi
Muhammad SAW memerintahkan agar duit itu digunakan untuk membayar gaji orang
yang dihantar ke tempat jauh untuk menyebarkan agama.51 Oleh kerana kharaj dan jizyah (cukai)
baru ditetapkan pada tahun ke-7 Hijrah, Baitul Mal yang dibentuk pada awal
pemerintahan mungkin bertindak sebagai pusat pengumpulan dan pembahagiaan
kekayaan umum. Menurut sumber lain,
Baitul Mal yang bertindak sebagai Pejabat Perbendaharaan Negara hanya dibentuk
ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (634-644).52
c. Mengembangkan sumber-sumber Pendapatan Negara
Pengembangan
sumber-sumber pendapatan negara berjalan sesuai dengan perkembangan keadaan dan
petunjuk Al-Quran. Sebagaimana yang
telah disebut sebelum ini, sumber penerimaan negara yang pertama ialah khumus, pada tahun ke-2 Hijrah, sesuai
dengan ayat Al-Quran surah Al-Anfaal, ayat 41.
Pada tahun yang sama, sedekah fitrah atau zakat fitrah diwajibkan,
kemudian wakaf pada tahun ke-3 Hijrah, sesuai dengan Surah Al-Hasyr, ayat 7.
Kharaj ataupun sewa tanah ditarik pada
tahun ke-7 Hijrah, berdasarkan Surah Al-Anfaal, ayat 1 dan Surah Al-Hasyr, ayat
6 dan 7, ketika Khaibar ditakluk.
Kemudian, setelah kesejahteraan penduduk Muslim meningkat, zakat untuk
harta dan hasil pertanian dan perkebunan, atau ushr, mula diwajibkan pada tahun ke-8 Hijrah, berdasarkan petunjuk
dalam ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan di Madinah (iaitu : Surah 2 : 43, 83,
110, 177; Surah 4 : 77, 162; Surah 5 : 12, 55; Surah 9 : 5, 11, 18, 58, 60, 71,
103, 104; Surah 22 : 41, 78; Surah 24 : 37, 56; Surah 31 : 4; Surah 33 : 33;
Surah 58 : 13 dan Surah 98 : 5). Dan
pada tahun ke-8 Hijrah pula, Rasulullah menetapkan jizyah dan dikenakan pada golongan bukan Islam yang mendapat
perlindungan.
Pendapatan
lain ialah kafarat ataupun denda yang
dikenakan kepada orang Muslim yang melakukan kesalahan, berdasarkan ayat
Al-Quran yang turun di Madinah (iaitu Surah-surah 4 : 92, 5 : 95 dan 66 : 2), ushr, iaitu bayaran cukai tahunan yang
dikenakan kepada semua pedagang, untuk barang yang bernilai lebih dari 200
dirham, tebusan tawanan perang kecuali perang Hunain, khumus ataupun rikaz harta
karun, amwal fadhla (harta tidak
bertuan), nawaib (cukai yang
dikenakan pada orang kaya untuk memenuhi keperluan negara semasa darurat) dan
juga pinjaman.
Para
pengumpul zakat dan usrh dihantar ke seluruh daerah dengan tugas yang
jelas. Secara rasmi, mereka tidak
mendapat gaji tetapi mereka mendapat bayaran tertentu dari dana zakat. Untuk meningkatkan perdagangan, Nabi
Muhammad SAW menghapuskan ushr (cukai
masuk) di daerah Islam, di mana pertukaran barang sudah berlaku. Penghapusan cukai masuk ke atas matawang
dinar dan dirham dan komoditi memberi sumbangan bermakna pada keseimbangan
kewangan. Perjalanan keluar masuk yang
bebas kemudiannya dikenali dengan nama sistem
pertukaran matawang bebas, manakala penghapusan cukai masuk komoditi pula
dikenali dengan nama pasaran bebas.
d. Mengembangkan Dasar-dasar Polisi Fiskal
Dasar-dasar
polisi fiskal adalah berkaitan dengan penentuan dan kewajiban membayar kharaj, zakat, ushr, jizyah dan kafarat, termasuk penentuan tahap
minimum wajib (nisab), umur orang
yang wajib membayar (haul) dan
tarifnya. Oleh kerana membayar zakat
bagi orang Islam adalah salah satu ibadat wajib, maka mengira jumlah zakat yang
harus dibayar boleh dilakukan sendiri, berdasarkan kesedaran iman dan takwa (self assessment).
e. Mengembangkan Dasar-dasar Polisi Anggaran Belanjawan Negara
Polisi
belanjawan negara meliputi pengendalian pengeluaran negara dalam batas
penerimaanya dan penentuan keutamaan pengeluaran, di mana dalam jangka pendek
dapat memberi kesan optimum pada pengembangan kesejahteraan masyarakat. Menurut catatan sejarah, pendapatan dari
pinjaman hanya dilakukan dalam keadaan darurat seperti ketika menakluk Mekah
dan pinjaman mesti diselesaikan dalam tahun itu juga.
Nabi
Muhammad SAW telah memberi lebih perhatian kepada beberapa sektor iaitu
peningkatan mutu sumber manusia melalui pendidikan dan kebudayaan, serta ilmu
pengetahuan; pembangunan infrastruktur
ekonomi; pembangunan pertahanan dan keselamatan dan peningkatan
kesejahteraan sosial melalui penyaluran zakat, infaq dan sedekah kepada
orang-orang yang layak menerimanya (tsamaniyah
asnaf).
f. Memperkenalkan Dasar-dasar Keseimbangan Kewangan
Oleh
kerana banyaknya hubungan perdagangan di antara Parsi dan Rom, serta
daerah-daerah jajahannya seperti Syam, Ethiopia dan Yemen di utara, dan
hubungan perdagangan di antara Rom dan India di sebelah selatan, pasar-pasar
bermusim banyak tumbuh di Yemen, Hijaz, San’a, Yatsrib dan Mekah. Pada mulanya, urus niaga dilakukan secara
barter, namu selepas itu satu jenis alat tukar umum seperti emas dan perak
diperlukan untuk mempermudahkan urus niaga.
Menurut
Dr. Kadim as-Sadr, negara Arab dan wilayah-wilayah tetangganya berada di bawah
kuasa Rom dan Parsi. Jadi mata wang emas
dari Rom, yang disebut Dinar, dan
mata wang perak dari Parsi, yang disebut Dirham,
diperkenalkan di wilayah-wilayah itu.
Wang syiling dinar dan dirham mempunyai berat yang tetap, di mana satu
dinar bernilai sama dengan sepuluh dirham.
Nilai emas dan dan perak pada duit syiling dinar dan dirham sama dengan
nilai nominalnya (face value)53. Dengan kemasukan seluruh Jazirah Arab pada
zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW, mata wang dinar dan dirham digunakan di
wilayah itu. Namun matawang dirham lebih
popular di dunia perniagaan bangsa Arab.
Penggunaan
mata wang logam agak terbatas kerana beratnya.
Sebelum kedatangan Islam, selain daripada mata wang dinar dan dirham,
surat hutang (surat kredit) dan surat hutang dagangan sudah digunakan untuk
urus niaga dagangan yang besar.
g. Menetapkan Sembilan Polis yang Berkaitan dengan Bidang
Kewangan
Pertama,
membenarkan penggunaan mata wang dinar dan dirham, serta surat hutang dan surat
hutang dagangan.
Dengan
penggunaan mata wang dinar dan dirham, secara automatik terdapat permintaan dan penawaran terhadap
kedua-dua mata wang itu. Apabila
permintaan untuk dinar meningkat, dinar diimport dari wilayah jajahan Rom
dengan cara mengeksport komoditi yang laku dijual di sana. Manakala Dirham pula diimport dari Parsi
dengan pertukaran komoditi yang laku dijual di sana. Sebaliknya, apabila bekalan dinar ataupun
dirham meningkat, komoditi pula yang diimport dari kedua-dua wilayah itu.
Kedua, pembebasan tarif dan cukai masuk
untuk import emas dan perak, serta komoditi dari wilayah Parsi dan Rom.
Oleh
kerana serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy (tercatat
berlaku 58 peperangan ataupun lebih kurang enam kali serangan dalam setahun),
kegiatan perdagangan melalui surat kiriman wang dan surat hutang menjadi terbatas
dan urus niaga import-eksport terganggu.
Akibatnya, berlakulah penyimpanan mata wang dinar dan dirham. Tujuan sebenar penyimpanan ini adalah
semata-mata untuk keperluan urus niaga dan untuk tujuan berjaga-jaga kerana
Rasulullah SAW telah melarang penimbunan ataupun penyimpanan wang (kanz).
Ketiga,
larangan penimbunan wang (kanz). Namum, masyarakat dibenarkan melebur duit
emas dan perak menjadi perhiasan ataupun barang kemas, sekiranya bekalan lebih
daripada permintaan.
Keempat, larangan penimbunan barang
untuk menjaga stabiliti nilai wang.
Herotan harga juga dicegah dengan larangan penahanan kafilah sebelum
masuk ke pasar (talaqqir rukban).
Kelima, larangan memberi bunga kepada duit (riba) dan ini
dijalankan bersama dengan larangan menyimpan wang (kanz). Polisi ini
mempercepatkan peredaran wang yang digunakan untuk kegiatan pelaburan.
Keenam, menggalakkan pinjaman tanpa bunga (qardhul
hasan) dan lain-lain jenis perjanjian bgi hasil dan risiko.
Polisi
ini diperkenalkan untuk kaum Anshar dan kaum Muhajirin dalam bentuk mudharabah (satu pihak menyediakan modal
dan pihak yang lain menyumbangkan kepakaran berniaga), muzara’ah (perkongsian hasil pertanian), musaqat (satu pihak menyediakan tanah dan pihak yang lagi satu
menyediakan saliran dan tenaga kerja) dan musyarakah
(kedua-dua pihak menyediakan modal).
Polisi ini meningkatkan pengeluaran dan pada masa yang sama
mempercepatkan peredaran wang.
Ketujuh, mencegah kegiatan
spekulasi. Nabi Muhammad SAW melarang
pertukaran duit dan barang (jual-beli) beberapa hari selepas perjanjian
ditanda-tangani ataupun sekarang dipanggil perdagangan ke depan (future trading).
Kelapan, meningkatkan pengeluaran barangan dan
perkhidmatan. Perkara ini dilaksanakan
dengan cara pembahagian tanah yang ditinggalkan oleh Bani Nadhir dan
pembahagian tanah untuk perumahan, berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran
dari Parsi dan Rom untuk kegiatan-kegiatan pertanian, pembinaan, kedoktoran dan
kraftangan. Ini menyebabkan hasil
pertanian, kraftangan dan kegiatan di bidang perkhidmatan meningkat.
Kesembilan, penghapusan monopoli dagang kaum Quraisy di pasar
Ukaz dan Dul-Majaz, setelah penaklukan Mekah.
Penghapusan monopoli ini telah meningkatkan kecekapan dan pengagihan
pendapatan yang lebih baik. Permintaan terhadap wang meningkat sehingga
mempercepatkan peredara wang.
Kesembilan
polisi yang dinyatakan di atas dilaksanakan dengan baik. Sepanjang pemerintahan
Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat catatan tentang pergolakan kewangan.
0 komentar:
Posting Komentar