Kalau
kita kaitkan fakta sejarah bangsa Arab seperti di atas dengan pendapat yang
mengatakan sistem perekonomian yang dianut oleh sesuatu bangsa (negara ataupun
kelompok masyarakat) dipengaruhi oleh sekumpulan nilai yang dianut oleh bangsa
ataupun oleh masyarakat itu – seperti adat resam, kebiasaan, norma-norma,
kepercayaan, ideologi dan falsafah – maka bolehlah kita simpulkan yang sistem
ekonomi yang terbentuk pada masa zaman Rasulullah SAW, khalifah rasyidin dan
kemudiannya diwariskan kepada Daulah Umayyah dan seterusnya hingga sekarang
adalah :
1.
sistem
ekonomi dipengaruhi oleh adat istiadat bangsa Arab yang gemar berdagang dan
2.
sistem
ekonomi dipengaruhi sekumpulan nilai-nilai Islam
Anwar Iqbal Quresi13
mendapati kebiasaan orang Arab sebelum kemasukan Islam, dalam urusan perniagaan
adalah seperti berikut :
- Seseorang
menjual sesuatu kepada orang lain dengan perjanjian yang bayaran akan
dilakukan pada tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah
pihak. Apabila pembeli tidak dapat
membayarnya pada tarikh yang ditetapkan, lanjutan masa akan diberi asalkan
pembeli setuju membayar jumlah yang lebih tinggi daripada harga asal.
- Seseorang
meminjamkan sejumlah wang untuk satu jangka masa tertentu, dengan syarat
apabila jangka masa itu tamat, peminjam mesti membayar jumlah wang yang
dipinjam itu bersama dengan satu jumlah tetap “riba” ataupun “tambahan”.
- Si
peminjam dan pemberi pinjaman bersetuju dengan satu jumlah “riba” tertentu
untuk satu jangka masa tertentu.
Kalau peminjam tidak dapat membayar hutangnya pada waktu yang
ditetapkan, dia mesti membayar sejumlah “riba” yang lebih tinggi sebagai
tambahan pada waktu lanjutannya itu.
Penemuan Anwar Iqbal Quresi
boleh dijadikan dasar untuk memahami pengertian dan jenis riba yang dilarang
dalam Al-Quran seperti yang ditegaskan dalam Surah Ar-Ruum ayat 39 (Makkiyah), Surah Ali Imran ayat 130 (Madaniyah), Surah An-Nisaa’ ayat 161 (Madaniyah) dan Surah Al-Baqarah ayat
275, 276, 278, 279 (Madaniyah).
Untuk memahami bagaimana
syariah Islam mempengaruhi pembentukan suatu sistem ekonomi Arab pada masa
Rasulullah SAW, kita harus melakukan kajian mendalam terhadap Al-Quran, kerana
Rasulullah SAW menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan dalam membimbing dan
menguruskan masyarakat ketika itu14.
Al-Quran merupakan firman
Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana ia berasal dari Allah Yang Maha Mengetahui, Al-Quran ialah
kitab yang sempurna dan menyeluruh, yang mencakup penjelasan tentang akidah,
syariat dan al-ahkam yang meliputi
perundangan yang berkaitan dengan masalah sosial, ekonomi dan politik. Firman Allah SWT dalam Al-Quran berbunyi :
“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan)
agamamu. Jadi jangalah kamu takut kepada
mereka dan takutlah kepada-Ku, pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu
agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai
Islam itu sebagai agama bagi kamu” (Surah Al-Maidah [5] : 3).
Menurut Dr. Muh. Zuhri,
ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada periode Mekah,
banyak mengandungi kecaman terhadap perilaku ekonomi masyarakat Mekah sebelum
Islam, yang lebih cenderung mengumpul harta dan mengabaikan orang miskin dan
anak-anak yatim. Di antara surah-surah
periode Mekah yang mengandungi kecaman ialah Surah At-Takaatsur ayat 1 dan 2,
Surah Al-Humazah ayat 1-3 dan Surah Al-Maa’un ayat 2-515.
Manakala ketentuan-ketentuan
syariat Islam yang diturunkan semasa periode Madinah adalah untuk menegakkan
ketentuan tentang konsep keadilan ekonomi.
Perintah penghapusan riba dan kewajipan membayar zakat juga turun semasa
periode Madinah. Ayat-ayat Al-Quran yang
diturunkan setelah hijrah ke Madinah disebut periode Madinah. Periode ini dikenali sebagai periode penataan
dan pemapanan masyarakat sebagai masyarakt contoh16.
Misi Ekonomi Islamik
Di antara misi yang ingin dicapai dalam
sistem ekonomi Islamik ialah supaya terwujudnya persamaan martabat di antara
manusia, di mana kita perlu menegakkan keadilan terutamanya dalam pengagihan
pendapatan. Secara makro, misi ini bertujuan untuk mewujudkan negara yang baik (yang mampu
mewujudkan kehidupan masyarakat yang adil dan makmur) serta diredai Allah SWT (baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur).
Mengenai
banyaknya surah-surah dalam Al-Quran yang membincangkan tentang ekonomi, Dr. Muh.
Zuhri mengambil pendapat Prof. Abdul Wahab Khallaf yang mengatakan ada 70 ayat
yang membicarakan tentang perniagaan dan pinjaman. Manakala menurut Prof. Harun Nasution, 228
daripada 368 ayat adalah ayat-ayat yang mengatur kehidupan duniawi, manakala
banyak daripada ayat-ayat itu mengatur
kesejahteraan ekonomi dan keluarga17.
Khusus
mengenai Hadis Rasulullah SAW, Akram Khan dalam bukunya yang bertajuk Economic Teachings of Prophet Muhammad (may
peace be upon him), cuba memilih dan mengumpul hadis yang berkaitan dengan
ekonomi. Buku yang judulnya bermaksud
‘Ajaran Nabi Muhammad SAW tentang ekonomi’ itu memuatkan hadis-hadis yang
berkaitan dengan 11 kegiatan utama ekonomi iaitu tentang hak milik, kekayaan,
mencari rezeki, tanah, buruh, modal, mekanisme pasar, duit dan kredit, kewangan
negara, pembangunan ekonomi dan juga tentang nilai-nilai ekonomi18.
Dengan
terkumpulnya petunjuk-petunjuk yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis-hadis
tentang ekonomi, maka terdapat tanda-tanda jelas yang menunjukkan suatu sistem
ekonomi memang sudah beroperasi, yang mana sesuai dengan ajaran-ajaran Islam
(rujuk Gambar 1). Dari sinilah kita
dapat mendalami wawasan, misi, mekanisme pengaturan dan juga peralatan ekonomi
yang telah berkembang sepanjang sejarah.
Wawasan, misi, mekanisme pengaturan dan juga peralatan ekonomi itu
merupakan unsur-unsur utama dari sesuatu sistem yang merupakan sebuah konsep
yang utuh, berteraskan Islam, semakin
lengkap dari masa ke semasa dan terus-menerus disempurnakan.
Kalau
dilihat dari segi wawasannya, iaitu
gambaran masa depan yang mahu dicapai oleh sistem ekonomi Islam, apa yang mahu
diperolehi ialah kebaikan ataupun kesejahteraan dunia dan akhirat bagi semua
umat manusia. Perkara ini digambarkan
dengan jelas dalam doa umat Islam yang terdapat dalam Surah Al-Baqarah [2] ayat
201, yang berbunyi :
“Dan
di antara mereka, ada yang berdoa, Ya Tuhan Kami, berilah Kami kebaikan di
dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah Kami dari seksa neraka.”
Dua
dimensi kebaikan ataupun kesejahteraan yang ingin diraih, sama ada di dunia
mahupun di akhirat, adalah unik kerana perkara seperti ini tidak pernah
disentuh dalam mana-mana sistem ekonomi pun.
Di
antara misi yang ingin dicapai dalam sistem ekonomi Islam ialah wujudnya
persamaan martabat di antara umat manusia, di mana kita perlu menegakkan
keadilan terutamanya dalam mata pencarian dan pendapatan. Secara makro, misi ini bertujuan untuk mewujudkan negara yang baik (yang mampu
mewujudkan kehidupan masyarakat yang adil dan makmur) serta diredai Allah SWT (baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur).
Dengan
wawasan dan misi ini, kita perlu mekanisme pengaturan yang menjamin persamaan
martabat manusia melalui pengagihan pendapatan yang adil, seperti larangan
memakan dan mengusahakan barang riba, larangan menyembunyikan atau melebihkan
barangan dan manipulasi harga, larangan mengurangkan gaji dan mengabaikan
kebajikan pekerja. Modal juga tidak
boleh terlepas dari acuan moral yang luhur supaya ia mampu memperbaiki taraf
hidup manusia secara keseluruhannya.
Untuk
memungkinkan terlaksananya peraturan yang boleh menjamin pengagihan pendapatan
yang adil dan saksama, dalam khazanah hukum Islam (fikah) sudah sedia ada
pola-pola hubungan kerja dan perniagaan yang boleh menguntungkan pemilik modal,
ahli perniagaan dan juga pekerja.
Contohnya, syirkah ataupun musyarakah, qirad ataupun mudharabah,
murabahah dan lain-lain. Dengan
mengamalkan pola-pola hubungan kerja seperti yang disebutkan di atas, amalan-amalan pembungaan wang, penimbunan
barang, manipulasi harga dan lain-lain amalan yang akan merugikan masyarakat
akan tersingkir secara automatik.
Daripada kajian-kajian yang dibuat oleh para ahli ekonomi Islam,
diyakini bahawa ketentuan-ketentuan tersebut telah pun dilaksanakan pada zaman
Rasulullah SAW, Khalifah Rasyidin dan juga Daulah Islamiyah.
Satu
perkara penting yang harus diperhatikan ialah kajian sejarah mengatakan istilah
peraturan yang bersifat normatif ataupun positif tidak dikenali dalam
masyarakat Islam kerana amalan itu telah melekat dalam kehidupan mereka
sehari-hari. Sejarah mencatat bahawa
penerapan peraturan yang dilakukan secara konsisten mampu membawa masyarakat ke
tahap kesejahteraan yang adil dan saksama.
Contoh-contoh pencapaian dan kejayaan yang diperolehi dari sistem ekonomi
Islam sudah jelas tercatat dalam sejarah.
Perbincangan
tentang perkembangan pemikiran ekonomi Islam pada ketika para Khalifah
menggantikan Rasulullah SAW, akan berkisar pada pengembangan peraturan yang
diperlukan untuk memperkuatkan ekonomi Islam secara benar.
0 komentar:
Posting Komentar