Ku Mengerti Cinta Ini
Aku sukar mengerti. Dia kata dia lakukan kerana cinta. Cinta apa itu? Aku benarbenar
tidak memahami.
Lama dulu dia menangis. Aku kurang mengerti mengapa? Dia kecewa. Kerana
apa? Aku cuba mencungkil cerita. Kisahnya, dia khilaf menghulur cinta. Cintanya
dikhianati. Cintanya tak dihargai. Dia menjadi pendiam. Seakan kesal dan meratap nasib
diri.
Aku cuba merawat luka dihatinya. Itu semua takdir Ilahi. Ujian Tuhan menduga
hati hambanya. Aku selongkar kisah sufi. Kisah Suraya Al-Jausi ku garap penuh emosi.
Gadis miskin yang terperangkap dalam khilaf dosa dan bergelumang noda, akhirnya
menjadi pendamba cinta hakiki.
Aku terus menjalin panglipurlara. Kisah Rabiah Al-Adawiyah, selebriti pencinta
Ilahi menjadi hiburan. Sesungguhnya Allah tak akan membiarkan hambanya menyatakan
‘bahawa kami telah beriman’ tanpa diduga dengan ujian dan percubaan. Dalam
mendamba halawatul iman sang sufi terus berdepan rintangan. Hanya kesabaran dan doa
menjalin keakraban bersama Tuhan.
Kisah Hassan Al-Basri, penghulu para tabi’in itu punya pedoman menusuk kalbu.
Dalam mengejar hiasan duniawi, sufi masyhur itu beroleh cinta sejati. Biar kisah silam
terpalit duka, dosa dan noda, cinta Tuhan tak pernah mati. Kecapi damai selama derita
masih merintang kerana cinta Ilahi sentiasa mekar dan subur menghias laman hayat
pencinta-Nya.
Ternyata dia terpukau dengan ceritera-ceritera zaman sufi itu. Hingga nestapa
terus memudar. Dia bertanya di mana ku temui kisah-kisah menakjubkan itu. Aku
tersenyum dengan perasaan ingin tahunya itu. Aku membawanya ke toko buku. Dalam
senyuman aku cuma berisyarat. Dia tertawa lucu dengan tingkah ku. Terus juga mengerti
maksudku.
Dia berubah terus. Halaman demi halaman ditatap penuh emosi. Hidupnya banyak
membisu, bergelumang cuma helaian-helaian yang melakar kisah dan peristiwa.
Barangkali begitu asyik.
Satu hari aku cuba bertanya, tidak mahukah dia keluar bersama-sama temanteman.
Mungkin bersiar-siar di pusat membeli-belah atau menonton di pawagam.
Pertanyaan setelah lama dia tenggelam sendirian. Dia seakan berubah mendadak. Aku
dilanda sedikit gusar walau aku senang dia sentiasa di sisi.
Dia menatap ku. Senyuman tawar diukir bersungguh-sungguh seakan
menenteramkan gundah hatiku. Dia tutur lembut, mahu tumpu pada peperiksaan besar
yang bakal dihadapi. Aku senyum kembali. Harap dia benar-benar begitu.
‘Kau memang bodoh. Oleh sebab itu kau tidak layak untuk mencintai aku. Malah
untuk bercinta dengan sesiapa pun,’ kata-kata dari Amirul menusuk ke jantung hati. Aku
sungguh terluka. Sungguh aku mudah diperdaya, mungkin benar katanya, aku bodoh.
Kata-kata itu terus-menerus membelenggu perasaanku. Benarkah tiada cinta
untukku? Aku terluka. Rasa terseksa dengan kata-kata itu. Terasa hina. Rendah diri.
Aku malu menatap wajah teman-teman. Amirul seakan tak bersalah terus melukai
diriku. Lelaki yang pernah mengisi ruang kalbu kini menikam hatiku sendiri.
Aku bersendiri. Terus mengasing diri. Hidup seakan mahu berakhir. Inikah
rasanya putus cinta? Rasa dikhianati? Memang sakit. Memang pedih.
Aku hilang punca. Akhirnya aku luah kepada ibu. Ibu diam lama. Ibu tatap mata
merahku berbekas air mata. Akhirnya ibu senyum. Senyuman ibu yang manis dan
menenangkan. Ibu menyentuh rambut hitamku. Rambut yang melepasi paras bahu itu
diusap lembut. Tangisan dan rasa pilu semakin pudar, seakan menghilang.
‘Cinta pada bunga, bunga akan layu. Cinta pada harta, harta akan binasa. Cinta
pada manusia, manusia akan pergi. Cintailah Ilahi, kerana itu cinta abadi,’ ungkapan ibu
membuah persoalan di wajah muramku. Tapi jauh di sudut hati, aku mengerti bicara ibu.
Ibu membuat misalan. Jika kecil dulu ibu galak bercerita kisah gadis miskin
bertemu putera raja, memberi aku harapan dan impian. Kini ibu serap kisah cinta agung
menenang gelora duka yang menghempas jiwa, memberi aku kepercayaan dan kekuatan.
Aku menelesuri cinta sejati itu. Aku percaya ada cinta untukku. Amirul bukan
penentu arah cinta ku. Cuma aku perlu kekuatan meraih cinta.
Category:
Gaya Hidup
0
komentar
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar